Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan, hukuman penjara ke atas bekas akauntan Asia Media Group | DagangNews Skip to main content

Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan, hukuman penjara ke atas bekas akauntan Asia Media Group

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 13 Sept - Mahkamah Rayuan telah mengesahkan sabitan dan hukuman penjara yang dijatuhkan
oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun 2021 terhadap bekas akauntan kumpulan Asia Media Group Berhad, 
Ong Kar Kian (Ken Ong).

 

Ken Ong didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

 

Dalam keputusannya pada 11 September 2023 itu, Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan denda harian RM1,500 sehari, yang dikenakan terhadap Ken Ong oleh hakim bicara.

 

Kes ini merupakan pendakwaan pertama oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) terhadap kegagalan mematuhi perintah bertulis yang dikeluarkan di bawah seksyen 32(2)(a) AMLATFPUAA.

 

Keputusan Mahkamah Rayuan menekankan bahawa kegagalan dalam mematuhi perintah bertulis SC di bawah AMLATFPUAA dipandang serius oleh mahkamah dan pengawal selia pasaran modal itu.

 

Pada 19 Februari 2020, Ken Ong telah didakwa dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA atas kegagalan mematuhi perintah bertulis untuk hadir di hadapan pegawai penyiasat SC bagi membantu siasatan suatu kes
pengubahan wang haram.

 

Ken Ong telah didapati bersalah dan telah disabitkan bagi ketiga-tiga pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 10 Disember 2020, selepas perbicaraan penuh.

 

Ken Ong dijatuhkan hukuman penjara sehari bagi setiap pertuduhan dan dikenakan denda RM25,000, dengan hukuman penjara berjalan serentak.

 

Selain itu, Ken Ong turut didenda RM1,500 sehari oleh Mahkamah Sesyen kerana gagal mematuhi perintah tersebut selama tempoh 673 hari, iaitu berjumlah RM1,009,500.

 

Ken Ong memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi pada 14 Disember 2020. Mahkamah Tinggi mengesahkan sabitan dan hukuman berhubung tiga pertuduhan itu.

 

Bagaimanapun, denda harian berjumlah RM1,009,500 diketepikan.

 

Ken Ong kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, manakala SC memfailkan rayuan balas terhadap perintah mengetepikan denda harian. - DagangNews.com