Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat | DagangNews Skip to main content

Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) negeri akan mengadakan mesyuarat pertama dalam tempoh terdekat.

 

Unit Perancang Ekonomi (EPU) dalam satu kenyataan memberitahu, majlis berkenaan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama dianggotai exco-exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam menjaga portfolio digital.

 

Katanya, majlis itu bertujuan mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat persekutuan dan negeri berdasarkan RMK-12 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara. 

 

Inisiatif Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu dijajarkan untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi dan pendigitalan.

 

"Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat COVID-19 dan kemampanan ekonomi. 

 

"Ini juga akan memastikan kualiti sambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap yang terbaik untuk manfaat kepada rakyat selain menjadi platform untuk berkongsi idea dan pengalaman mengenai pembangunan digital di negeri masing-masing kerana ada di antaranya telah mempunyai perancangan yang teliti untuk masa depan," katanya.

 

Dalam pada itu, EPU juga turut mengadakan 11 siri jerayawara (roadshow) termasuk bersama Kerajaan Perak dalam usaha menghebahkan dasar, strategi dan inisiatif RMK-12 kepada semua pihak berkepentingan di peringkat negeri. 

 

Program jerayawara termasuk sesi libat urus itu dihadiri Mustapa dan Menteri Besar Perak,Datuk Saarani Mohamad bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

 

Dalam sesi libat urus itu, Kerajaan Perak menekankan mengenai pendigitalan khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kepentingan kualiti liputan perlu diberi perhatian, bukan hanya sekadar penembusan jalur lebar mudah alih.

 

"Kemudahan digital di Perak sedang ditambah baik menerusi Pelan Digital Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilaksanakan bermula 2020 hingga 2022 dengan semuanya masih dalam pelaksanaan.

 

"Antara pencapaian JENDELA di Perak sehingga suku keempat 2021 termasuk membina 176 menara baharu bagi memperluaskan liputan 4G dengan 46 daripadanya siap dibina

 

"Selain itu menaik taraf 1,882 stesen pemancar liputan 4G dengan 1,596 sudah berjaya dinaik taraf dan sebanyak 107,944 premis sudah menerima capaian gentian optik manakala 73 perkampungan Orang Asli akan menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar," katanya.-Dagangnews.com