Malacca Securities nilai saham Go Hub bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 68 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities nilai saham Go Hub bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 68 sen sesaham

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Julai - Malacca Securities Sdn Bhd memberikan nilai wajar Go Hub Capital Bhd (Go Hub) pada 68 sen sesaham.

 

Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 94.3% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 35 sen sesaham Go Hub yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia 3 Julai 2024.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Go Hub dinilai dengan pendapatan sesaham (EPS) tahun kewangan 2025 sebanyak 24 kali.

 

"Kami percaya nisbah harga sasaran-untung (P/E) hadapan sebanyak 24x wajar sebagai purata P/E hadapan syarikat seumpama terpilih sebanyak 23.7x," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Go Hub dijangka kumpul modal RM37.51 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

go hub

 

Malacca Securities berkata, dalam beberapa tahun terakhir, sektor pengangkutan telah melihat peningkatan penggunaan teknologi maklumat (IT) dalam bentuk sistem tiket terpusat, mesin jualan tiket layan diri, kiosk informasi digital dan sebagainya. 

 

"Saat ini, hanya sedikit sahaja terminal pengangkutan yang telah mengguna pakai komponen IT.

 

"Oleh itu, kebanyakan terminal masih belum beralih kepada IT dan trend peningkatan penggunaan komponen IT membentuk pasaran yang besar dan berpotensi bagi Go Hub," jelasnya.

 

Go Hub dipimpin oleh pasukan pengurusan berpengalaman yang mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam industri ini. 

 

"Pasukan pengurusan yang cekap, bersama dengan sejarah kemenangan projek terutamanya dari KTMB, memberikan sokongan yang kuat bagi Go Hub untuk memenangi lebih banyak projek pada masa depan," ujarnya.

 

Menurut firma itu, terdapat beberapa projek utama yang Go Hub akan sertai termasuk  sokongan penyelenggaraan untuk Sistem Operasi Terminal (TOS) di Sabah untuk tempoh sehingga 12 bulan.

 

Turut terlibat ialah Laluan Landasan Berkembar Elektrik dari Gemas ke Johor Bahru untuk memasang perkakasan berkaitan seperti Gerbang Kawalan Akses (ACG) dan Mesin Pembayaran Tiket (TVM), serta perisian di 9 stesen kereta api.

 

"Pastinya, projek yang paling dinantikan dalam senario pengangkutan akan menjadi sistem bayaran terbuka yang melibatkan rangkaian Rapid Rail di Lembah Klang, yang dijangka siap pada Ogos 2025," katanya.

 


Kata Malacca Securities, Go Hub merancang untuk menggunakan hasil IPO bagi meningkatkan bidang-bidang utama seperti tenaga kerja, pemasaran, penubuhan pusat integrasi baru, dan reka bentuk & pembangunan. 

 

"Inisiatif-inisiatif ini tidak hanya akan membolehkan Go Hub untuk memperluas kehadiran melalui jangkauan pemasaran yang diperbaiki tetapi juga memperluas keupayaannya untuk menambah nilai kepada penawaran produk dan perkhidmatan masa depannya," ujarnya. - DagangNews.com