Malaysia berdepan tekanan penarafan lebih rendah oleh firma antarabangsa - AmBank | DagangNews Skip to main content

Malaysia berdepan tekanan penarafan lebih rendah oleh firma antarabangsa - AmBank

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Penarafan yang lebih rendah ke atas Malaysia berkemungkinan muncul dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang sekiranya pertumbuhan ekonomi negara berterusan mengalami kemerosotan yang lebih panjang daripada jangkaan. 

 

Komitmen yang lebih rendah untuk penyatuan fiskal pada masa akan datang juga bakal mendorong semak turun penarafan yang lebih rendah oleh firma penilaian antarabangsa, menurut AmBank Research.

 

Kedua-dua situasi berkenaan berpotensi mengakibatkan pengumpulan hutang am bersih kerajaan yang lebih cepat. 

 

“Ini akan dicerminkan oleh perubahan dalam hutang am bersih kerajaan melepasi 4% secara berterusan, keberhutangan bersih menjangkaui 80% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau faedah yang dibayar oleh kerajaan melebihi 15% daripada hasil.

 

“Tekanan semak turun penarafan oleh agensi penarafan antarabangsa juga akan bertambah buruk sekiranya kestabilan politik merosot sehingga pembuatan dasar semakin sukar diramal atau kedudukan luaran kita melemah hingga ke tahap pembiayaan luaran kasar ekonomi melebihi penerimaan akaun semasa ditambah rizab yang boleh digunakan,” jelas firma itu dalam satu laporannya.

 

Menerusi pelbagai rangsangan ekonomi, kerajaan telah meningkatkan siling hutang awam kepada 60% daripada 55% sebelum ini dengan nisbah defisit fiskal kepada KDNK meningkat kepada 6.2% daripada 6.0%. 

 

Ini merupakan antara isu yang mungkin mempengaruhi semakan semula oleh agensi penarafan seperti Moody’s, S&P dan Fitch. 

 

AmBank bagaimanapun memberitahu bahawa agensi penarafan mengesahkan semula penarafan negara dengan Moody's mengekalkan profil kredit Malaysia pada ‘A3’ dengan tinjauan yang stabil pada bulan April.

 

S&P mengekalkan penilaian kredit jangka panjang 'A-' dan jangka pendek 'A-2', dan penarafan mata wang tempatan jangka panjang 'A' dan jangka pendek 'A-1' dengan prospek jangka panjang negatif pada Jun.

 

Sementara Fitch mengesahkan penarafan lalai penerbit mata wang asing jangka panjang (IDR) Malaysia pada 'BBB +' dengan tinjauan stabil pada bulan Julai.

 

AmBank menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun ini kepada sekitar 4.0% hingga 4.5% daripada 5.5% hingga 6.0% susulan penguatkuasaan ‘lockdown’ yang dilanjutkan sehingga Julai dengan beberapa negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

 

Ditambah dengan langkah-langkah rangsangan tambahan baru-baru ini sebanyak RM150 bilion, ini akan melemahkan lagi keadaan fiskal dan hutang negara yang sudah tegang, kata AmBank.

 

“Bagaimanapun, semak turun ini mungkin dikurangkan oleh kedudukan luaran yang sihat, dasar monetari yang fleksibel dan pertumbuhan ekonomi mampan. Sebaliknya, tekanan penarafan yang berkurangan akan muncul sekiranya prospek bagi penyatuan fiskal bertambah baik dengan ketara, terutamanya menerusi langkah-langkah yang melebarkan dasar hasil negara semasa yang kecil, menunjukkan penurunan berterusan dalam beban hutang kerajaan dan peningkatan kemampuan hutang.

 

“Mengambil kira semua aspek, ini tidak akan mengubah pandangan bahawa ekonomi tetap rentan. Semak turun penarafan pada masa akan datang oleh mana-mana agensi penarafan antarabangsa masih boleh berlaku. 

 

“Lebih-lebih lagi, dengan peningkatan kemungkinan semakan ke atas lebih lanjut mengenai had hutang awam semasa sebanyak 60%,” tambah AmBank. - DagangNews.com