Malaysia catat 20,525 kematian pada 2022, penyakit jantung eskemik jadi punca utama - DOSM | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat 20,525 kematian pada 2022, penyakit jantung eskemik jadi punca utama - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 30 Okt - Sebanyak 206,525 kematian direkodkan pada 2022 yang mana 126,268 (61.1%) adalah sebab kematian yang disahkan secara perubatan dan 80,257 (38.9%) adalah sebab kematian yang tidak disahkan secara perubatan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penyakit jantung eskemik adalah sebab kematian utama di Malaysia pada 2022 dengan 20,322 kematian atau 16.1% daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan. 

 

Katanya, penyakit tersebut kekal sebagai sebab kematian utama sejak lebih dua dekad yang lalu kecuali pada 2021 yang mana jangkitan COVID-19 menjadi sebab kematian utama. 

 

"Sebanyak 13,817 (18.2%) kematian disebabkan penyakit jantung ekskemik adalah dalam kalangan lelaki, manakala sebab kematian utama bagi perempuan adalah 'pneumonia' iaitu 7,201 (14.3%).

 

"Penyakit jantung eskemik merupakan sebab kematian utama bagi semua kumpulan etnik utama di Malaysia yang mana Melayu (17.3%), Cina (14.7%) dan India (21.1%) kecuali Bumiputera lain yang merekodkan pneumonia (11.5%) sebagai sebab kematian utama," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Selain daripada sebab kematian utama yang biasa berlaku di Malaysia iaitu penyakit jantung eskemik, pneumonia, penyakit serebrovaskular dan kemalangan, terdapat juga sebab kematian mengikut etnik dalam kedudukan 10 sebab kematian utama seperti diabetes mellitus yang lebih sinonim dengan kematian bagi etnik Melayu dan India, manakala kanser adalah sebab kematian dalam kalangan etnik Cina.

 

Menurut Mohd Uzir, amalan gaya hidup dan pengambilan pemakanan yang tidak sihat adalah antara penyumbang kepada kematian disebabkan penyakit jantung eskemik pada masa kini. 

 

 

dosm

 

 

Katanya, ia disokong kenyataan dari Kementerian Kesihatan iaitu penyakit jantung eskemik berlaku apabila saluran darah menjadi keras dan sempit disebabkan plak kolesterol. 

 

"Faktor risiko utama penyebab penyakit ini adalah termasuk merokok, paras kolesterol yang tinggi, tekanan darah tinggi, diabetes dan faktor usia. Selain itu, terdapat juga faktor lain yang mempengaruhi seperti obesiti, kurang menjalankan aktiviti fizikal dan sejarah keluarga. 

 

Selain penyakit jantung eskemik, beberapa penyakit tidak berjangkit lain seperti, penyakit serebrovaskular, hipertensi dan diabetes mellitus turut disebabkan amalan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat. 

 

Manakala, pneumonia yang merupakan sebab kematian kedua tertinggi di Malaysia adalah disebabkan jangkitan kuman bakteria dan virus di paru-paru, tetapi boleh berlaku juga disebabkan kulat atau parasit. Pneumonia adalah radang atau inflamasi yang berlaku pada paru-paru.

 

Beliau berkata, sebab kematian utama bagi penduduk berumur 41-59 tahun dan 60 tahun dan lebih adalah penyakit jantung eskemik masing-masing pada 20% dan 16.7%. 

 

"Selain itu, kemalangan pengangkutan merupakan sebab kematian utama bagi penduduk berumur 15-40 tahun (19.2%), manakala pneumonia adalah sebab kematian utama bagi penduduk berumur 0-14 tahun (4%)," katanya.

 

Selain itu, pneumonia mencatatkan sebab kematian kedua tertinggi di negara ini dengan 13% diikuti penyakit serebrovaskular (7.2%), jangkitan COVID-19 infection (4.2%) dan kemalangan pengangkutan (3.2%). 

 

Selain daripada lima sebab kematian utama, statistik menunjukkan bahawa kematian yang disebabkan kanser turut meningkat sejak tahun 2001 daripada 5,231 kematian kepada 15,901 kematian pada 2022.

 

Mengulas lanjut, semua negeri di Malaysia merekodkan penyakit jantung eskemik sebagai sebab kematian utama pada tahun 2022 kecuali Sabah dan Sarawak yang merekodkan pneumonia sebagai sebab kematian utama pada tahun sama.

 

Kelantan merekodkan peratusan tertinggi bagi penyakit jantung eskemik iaitu 23.3% diikuti Perlis (23.1%) dan Melaka (20%). 

 

Laporan ini turut membentangkan sebab kematian utama di peringkat daerah pentadbiran di Malaysia. penyakit jantung eskemik juga merupakan sebab kematian utama di 73 daerah pentadbiran dan peratusan tertinggi direkodkan di daerah Bera, Pahang dengan 26.9%.

 

Sementara itu, pneumonia merupakan sebab kematian utama di 67 daerah pentadbiran dengan peratusan tertinggi dicatatkan oleh Kecil Lojing, Kelantan (24.4%). 

 

Selain itu, penyakit serebrovaskular direkodkan sebagai sebab kematian utama di 11 daerah, manakala penyakit kronik saluran pernafasan bawah direkodkan di dua daerah, penyakit hipertensi di dua daerah dan 'malignant neoplasma trakea', bronkus dan paru-paru di satu daerah (Belaga, Sarawak).

 

United Kingdom menunjukkan trend yang sama dengan Malaysia iaitu COVID-19 sebagai sebab kematian utama pada 2021. - DagangNews.com