Malaysia jadi pasaran pusat data paling pesat berkembang pada suku ketiga 2024 | DagangNews Skip to main content

Malaysia jadi pasaran pusat data paling pesat berkembang pada suku ketiga 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Julai - Malaysia merupakan pasaran pusat data paling pesat berkembang pada suku ketiga 2024, kata Juwai IQI.

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif  Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Malaysia kini berubah menjadi kuasa besar pusat data berbanding sebelum ini hanya menjadi pesaing utama dalam industri itu.

 

"Jika semua pusat data baharu yang dirancang di rantau ini berjalan dengan baik, Malaysia akan menjadi pasaran ketiga terbesar di Asia, di belakang Jepun dan India. 

 

"Selain itu, ia akan mewujudkan puluhan ribu pekerjaan tempatan mahir," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, industri pusat data global berkembang pesat tahun ini kerana permintaan daripada kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, e-dagang dan pengkomputeran awan.

 

Katanya, pusat data menggunakan terlalu banyak kuasa sehingga penggunaan elektrik AI berkemungkinan menyumbang setengah peratus daripada semua penggunaan elektrik global dalam tempoh dua tahun setengah.

 

Kashif berkata, lokasi strategik, dasar kerajaan yang menggalakkan serta berhampiran dengan Singapura selain harga tanah, air dan kuasa yang menarik, merupakan factor Utama Malaysia menjadi pusat data paling pesat berkembang di Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, pembangunan masa hadapan pusat data di Malaysia terdiri daripada 1.2GW yang mewakili 600% pertumbuhan dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

“Penyedia perkhidmatan awan utama seperti Amazon Web Services (AWS), Microsoft, Nvidia serta Google mengiktiraf pasaran menarik Malaysia dan kesemuanya komited untuk melabur di sini.

 

"Pada masa yang sama, Malaysia telah mengubah ekonominya daripada bergantung kepada eksport bahan mentah kepada ekonomi terpelbagai dengan sektor perkhidmatan yang besar," katanya.

 

Pemain utama dalam pasaran pusat data Malaysia termasuk NTT Global Data Centers, AWS, Microsoft, Google dan firma tempatan seperti TIME dotCom dan Bridge Data Centers.

 

Kashif berkata, pembinaan terancang peringkat awal pusat data baharu hampir tertumpu sepenuhnya di  Kuala Lumpur dan Johor dengan 55% daripada projek baharu dirancang untuk kawasan ibu negara dan 45% lagi akan masuk ke Johor.

 

“Wilayah Kuala Lumpur, termasuk Cyberjaya, mempunyai lokasi yang strategik, infrastruktur yang teguh dan sokongan kerajaan. Beberapa faedah Cyberjaya ialah tanahnya yang berharga kompetitif dan bekalan kuasa yang stabil, serta kehadiran penyedia awan utama di rantau ini," katanya.

 

Sementara itu, beliau berkata, antara cabaran utama bagi sektor itu adalah bagi memastikan bekalan kuasa mencukupi bagi menyokong pertumbuhan pesat dan pelaburan dalam infrastruktur tenaga dan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) adalah penting bagi menangani cabaran ini. 

 

Selain itu, pemilik pusat data akan membayar untuk membangunkan lebih banyak rangkaian kabel dasar laut bagi meningkatkan ketersambungan antara Malaysia dan seluruh dunia.

 

"Industri juga memerlukan ramai pekerja mahir dan memberi peluang untuk mempelajari kemahiran baharu dan memperoleh gaji yang lebih tinggi. 

 

"Sebagai sebuah negara, kita perlu melabur dalam pendidikan dan latihan supaya rakyat kita mempunyai kemahiran yang mereka perlukan untuk kerja bergaji tinggi ini," katanya.- DagangNews.com