Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Nov - Sebanyak AS$1.8 bilion sukuk SRI telah diterbitkan di bawah Rangka Kerja Sukuk SRI Malaysia sejak 2014 meliputi pelbagai projek hijau dan sosial.
Antaranya termasuklah pengurusan kelestarian sumber asli dan tenaga solar hinggalah bangunan hijau dan sekolah amanah.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, ini menunjukkan bon islamik atau sukuk adalah instrumen pembiayaan yang berkesan dalam menguruskan peralihan kelestarian.
Malah, katanya, sukuk boleh menawarkan banyak perkara, dengan menggalakkan penggunaan pendekatan baharu dan mampan seperti membiayai penggunaan teknologi rendah karbon, serta sebagai menyumbang kepada pertumbuhan kewangan peralihan.
"Malaysia, misalnya, sentiasa menggunakan pendekatan pragmatik untuk memajukan produk pelengkap dan struktur aset yang memenuhi keperluan pelabur.
"Ini meliputi industri pengurusan dana kami, yang telah berusaha menyediakan pelbagai penawaran pelaburan," katanya ketika berucap sempena Minggu Kewangan Mampan sempena Ekspo Dubai 2020 hari ini.
Minggu Kewangan Mampan dianjurkan SC mulai 8 hingga 12 November 2021. Acara utamanya, persidangan maya selama 3 hari yang diadakan dari 8 hingga 10 November akan mengetengahkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan mampan dengan memanfaatkan keupayaan kewangan Islam negara
Program itu akan menampilkan temu bual ucap utama bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang akan membicarakan agenda kemampanan Malaysia.
Expo Dubai 2020, juga dikenali sebagai 'Pameran Hebat', merupakan Ekspo Dunia pertama yang diadakan di rantau MEASA (Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan).
Ia merupakan ekspo global yang paling dipelbagai sehingga kini, dengan penyertaan 192 negara bermula 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.
Menurut Syed Zainal, bon kewangan mampan telah mencecah AS$778 bilion dalam tempoh sembilan pertama tahun ini, meningkat 57% daripada 2020, dengan hampir separuh daripada bon berkenaan adalah bon hijau.
Katanya, di rantau Asia Tenggara, terbitan bon dan sukuk di bawah Piawaian Bon Hijau, Sosial dan Kemampanan ASEAN berjumlah AS$16.7 bilion dengan satu per lima daripadanya diterbitkan oleh entiti Malaysia.
"Bagi Malaysia, kemampanan telah menjadi prinsip yang sudah lama diamalkan dalam pasaran modal islam, yang ditubuhkan kira-kira 30 tahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kewangan Islam menyediakan khidmat kepada populasi yang lebih meluas secara sama rata dan tidak lagi dianggap khusus kepada orang Islam sahaja.
Katanya, di peringkat global, industri kewangan Islam dijangka mencapai saiz AS$3.69 trilion menjelang 2024, meningkat daripada AS$2.88 trilion pada 2019, berikutan minat yang kukuh secara berterusan sebagai kaedah pengumpulan dana dan pelaburan.
“Malaysia dikenali ramai kerana berada di kedudukan hadapan dalam kewangan Islam, dengan pencapaian yang membanggakan, disokong oleh ekosistem yang kondusif, rangka kerja kawal selia yang berkesan dan pembangunan modal insan yang kukuh.
"Membuka jalan ke arah pemulihan, kewangan sosial Islam dijangka memainkan peranan penting dalam memudahcarakan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan," jelas beliau. - DagangNews.com