Malaysia tidak benarkan amah asing masuk sehingga 31 Disember 2021 | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak benarkan amah asing masuk sehingga 31 Disember 2021

PUTRAJAYA 20 Sept - Malaysia tidak membenarkan kemasukan pembantu rumah asing sehingga 31 Disember 2021, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac tahun lalu disebabkan pandemik COVID-19.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, sebarang keputusan untuk membawa masuk pekerja asing termasuk pembantu rumah asing akan diumumkan oleh Kerajaan secara rasmi selepas perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Kementerian lain yang berkaitan.

 

''Saya menyeru dan menasihatkan Agensi Pekerjaan Swasta yang berdaftar dan diberikan lesen oleh KSM untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau pengiklanan yang mengelirukan majikan berhubung kemasukan pembantu rumah asing dari negara sumber,'' katanya dalam kenyataan di sini.

 

Umum mengetahui kata beliau, majoriti pembantu rumah asing di negara ini adalah dari Republik Indonesia.

 

''Ketika ini, KSM masih di peringkat rundingan bersama pihak Indonesia bagi memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pengambilan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) yang telah tamat pada 30 Mei 2016,'' ujarnya.

 

Saravanan berkata, sehingga Ogos 2021, terdapat seramai 92, 481 pembantu rumah asing di negara ini dan daripada jumlah ini 64,181 adalah pengambilan PDI. - DagangNews.com