Malaysia tidak keluarkan pelitup muka graphene - Agensi | DagangNews Skip to main content

Malaysia tidak keluarkan pelitup muka graphene - Agensi

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Agensi nanoteknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), NanoMalaysia Berhad menegaskan bahawa negara ini tidak menghasilkan atau mengeluarkan pelitup muka yang mengandungi graphene.

 

Ini selepas kerajaan Kanada baru-baru ini secara khususnya menyekat pengedaran pelitup muka yang didakwa mengandungi model graphene #SNN200642 di mana dihasilkan oleh Shengquan atau SQ Group yang berisiko untuk kesihatan.

 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Rezal Khairi Ahmad menekankan bahawa siasatan lanjut perlu dilaksanakan ke atas SQ Group bagi memastikan proses pembuatan dan pengeluaran mematuhi standard antarabangsa dan kawal selia tempatan.

 

Dr. Rezal Khairi Ahmad
Rezal Khairi Ahmad

 

“Kami ingin menekankan bahawa siasatan lanjut ke atas SQ Group perlu untuk memastikan proses pembuatan dan pengeluaran mematuhi standard kawal selia antarabangsa dan tempatan dan sama ada graphene itu benar-benar digunakan di dalam pelitup muka berkenaan, seperti mana ditetapkan piawaian antarabangsa.

 

“Isu pelitup muka ini secara langsung dikaitkan dengan produk atau pembuatan yang tidak mematuhi Seksyen 10 hingga 20 di bawah Kawal Selia Peranti Perubatan Kanada berbanding teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sebelum ini turut menggesa Malaysia untuk menyekat pelitup muka dan peralatan perlindungan yang mengandungi graphene.

 

Kata Rizal Khairi lagi, walaupun sekatan dan risiko bahan itu secara khususnya dikaitkan dengan produk SQ Group, namun sebarang import pelitup muka yang mengandungi graphene pada masa akan datang bakal dinilai dan diuji dengan ketat oleh pihak berkuasa berkaitan.

 

Ini bagi memastikan kesemua pelitup muka itu mematuhi standard kawal selia dan selamat untuk digunakan, jelasnya.

 

Ujar beliau, kehadiran graphene di dalam sesebuah produk boleh disahkan oleh Program Pengesahan NanoVerify yang akan menjadi pintu masuk pertama sebelum memasuki protokol ujian keselamatan yang berkaitan.

 

Graphene merupakan bahan nano yang digunakan secara meluas di dalam aplikasi teknologi nano.

 

Ia digunakan di pelbagai industri seperti pembuatan litar elektronik, bateri, pelincir, komposit dan tayar susulan kesan nilai tambahannya kepada ekonomi.

 

Dalam industri-industri berkenaan, graphene selamat digunakan kerana tidak secara langsung bersentuhan dengan sistem pernafasan manusia.

 

Oleh itu, sekatan secara menyeluruh ke atas graphene akan menjejaskan potensinya dalam memajukan industri-industri tersebut, jelas NanoMalaysia. - DagangNews.com