Malaysian Genomics catat kerugian bersih RM6.06 juta pada 6QFY23 | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics catat kerugian bersih RM6.06 juta pada 6QFY23

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Feb - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) mencatatkan kerugian bersih RM6.06 juta pada suku keenam tahun kewangan 2023 (6QFY23) berbanding kerugian RM1.23 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Syarikat genomik dan biofarmaseutikal itu melaporkan pendapatan sebanyak RM12.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) didorong sumbangan terapi sel dalam perniagaan biofarmaseutikal yang menyumbang sebahagian besar daripada jumlah hasil Kumpulan.

 

Pada suku tahun semasa berakhir 31 Disember 2023, syarikat itu merekodkan hasil RM2.2 juta berbanding RM1.64 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya dan mencatat kerugian sesaham 4.42 sen berbanding kerugian sesaham 0.98 sen sebelumnya, kata MGRC dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Sementara itu,dalam kenyataan medianya, MGRC berkata, peningkatan kerugian sebahagian besarnya bersifat one-off termasuk kerugian penjejasan nilai belum terima lain berjumlah RM6.8 juta.

 

Katanya, ini ditambah dengan peningkatan perbelanjaan pemasaran dan pentadbiran untuk rangkaian, pendedahan jenama dan aktiviti kehadiran industri.

 

"Perbandingan suku ke suku pula menyaksikan penurunan sederhana dalam hasil kepada RM2.2 juta daripada RM2.3 juta suku sebelumnya Q5FY23," katanya.

 

Pengerusi Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai berkata, hasil kewangan untuk 18 bulan FY23 mencerminkan bukan sahaja tumpuan strategik pada terapi sel dan inovasi biofarmaseutikal tetapi juga kekuatan dan dedikasi pasukan.

 

azr
AZRI AZERAI

 

Melihat ke hadapan, katanya, MGRC berada pada kedudukan yang ideal untuk menerajui penyediaan pemeriksaan genetik, analisis genom dan produk serta perkhidmatan biofarmaseutikal di seluruh Asia Tenggara. 

 

"Dengan kemudahan tercanggih termasuk makmal penjujukan pemprosesan tinggi, kemudahan microarray termaju dan makmal pemprosesan sel BSL-2 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Kumpulan bertekad untuk meningkatkan ketepatan dan diperibadikan dalam penyelesaian penjagaan kesihatan," katanya.

 

Beliau pada masa sama mengalu-alukan penyertaan Mohammad Hasni Ibrahim dan Datuk Wira Muhammad Faizal Zainol ke lembaga pengarah MGRC sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif. 

 

"Latar belakang mereka yang kaya dalam kewangan korporat dan industri kewangan, masing-masing membawa kekayaan pengetahuan dan perspektif yang sudah pasti akan menyumbang kepada perjalanan kami ke hadapan. 

 

"Dengan rakan sekerja yang dihormati menyertai kami, kami lebih optimistik tentang masa depan kami, terus mengembangkan jangkauan kami dan berinovasi dalam penyelesaian genomik dan terapi sel, mengubah penjagaan kesihatan ke arah yang lebih baik," ujarnya.- DagangNews.com