Margin keuntungan D&O Green Technologies diunjur meningkat menjelang 4QFY22 - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan D&O Green Technologies diunjur meningkat menjelang 4QFY22 - PublicInvest

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - PublicInvest Research menjangkakan D&O Green Technologies akan mencatatkan peningkatan margin keuntungan disokong perkembangan positif dalam momentum jualan menjelang 4QFY22.

 

Firma itu berkata, perkembangan itu juga didorong oleh trend reka bentuk yang menarik, kecekapan yang tinggi hasil daripada pertambahan tenaga pekerja selain ruang lantai yang diperluan dan jentera baharu.

 

"Di sebablik penjualan kenderaan yang perlahan di peringkat global, pengurusan kumpulan yakin dengan prospek 2HFY22 didorong pengembangan kapasiti pengeluaran, penggunaan LED yang lebih tinggi kerana ciri infotainment semakin popular selain bahagian pasaran semakin bertambah," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu juga sedang mengintai peluang untuk mencatatkan perkembangan dua digit pada 2023 didorong penggunaan aplikasi infotainment dan lampu badan kenderaan.

 

Katanya, pelanggan kumpulan itu di Kesatuan Eropah mendesak agar mereka mengeluarkan lampu badan kenderaan lebih awal kerana ia memerlukan pelbagai ujian sebelum boleh digunakan.

 

"Lampu badan kenderaan disebut-sebut menjadi ciri baharu untuk model kenderaan elektrik (EV) dan pengurusan yakin bahawa produk baharu itu akan menjadi pendorong kepada syarikat untuk tahun hadapan," katanya.

 

Sementara itu, firma itu berkata, disebabkan kos pengubahsuaian yang meningkat pada 1HFY22, pihak pengurusan memutuskan untuk memindahkan pejabat kejuruteraan di Kilang 1 ke Kilang 2 yang akan membantu bagi tujuan pengembangan pengeluaran.

 

Pada masa sama, kumpulan berjaya menjimatkan antara RM2juta hingga RM3 juta selepas menukar tempoh ubah suai daripada 2QFY22 kepada 3QFY22 dan pengeluaran produk komersial akan bermula bulan hadapan.

 

"Kumpulan itu yakin bahawa Kilang 2 akan mencapai kapasiti penggunaan maksimum menjelang 2025," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM5.16. - DagangNews.com