Maxis meterai perjanjian pindaan bersama TM lanjutkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 2029 | DagangNews Skip to main content

Maxis meterai perjanjian pindaan bersama TM lanjutkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 2029

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Dis - Maxis Berhad memeterai perjanjian pindaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi melanjutkan perjanjian perkhidmatan premium jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) sehingga 30 Jun 2029.

 

Maxis menerusi cabang jalur lebarnya, Maxis Broadband Sdn Bhd, menandatangani perjanjian dengan TM Technology Services Sdn. Bhd., membolehkan syarikat telekomunikasi itu mendapat lebih banyak akses premis bagi HSBB di seluruh negara.

 

TM berkata, perjanjian itu melibatkan sedikit pembaharuan kepada kontrak sedia ada bertarikh 8 Februari 2019 yang akan menyaksikan penambahbaikan dalam perkhidmatan serupa yang kini disediakan kepada Maxis Broadband.

 

"Perjanjian pindaan itu menyaksikan Maxis Broadband menjadi pelanggan premium TM Technology bagi perkhidmatan HSBB dengan ciri serta fungsi yang dipertingkatkan daripada perkhidmatan akses asas.

 

"TM Technology menyediakan perkhidmatan premium HSBB kepada Maxis Broadband, yang akan dibayar oleh syarikat telekomunikasi berdasarkan parameter yang dipersetujui seperti yang ditetapkan dalam perjanjian," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Perjanjian itu akan bermula daripada pemeteraian perjanjian pindaan sehingga 30 Jun 2029, dengan pilihan untuk dilanjutkan oleh kedua-dua pihak.

 

Pada awalnya, Maxis Broadband dan TM Technology memeterai perjanjian berkenaan pada 2010 sehingga 10 tahun dan menerusi perjanjian itu, Maxis Broadband diberikan akses kepada infrastruktur HSBB TM meliputi akses jarak jauh.

 

Sementara itu, TM berkata, perjanjian pindaan itu menunjukkan komitmen bersamanya dalam memastikan ketersambungan yang lancar, stabil dan sentiasa aktif kepada rakyat Malaysia dan selaras dengan pelan tindakan ekonomi digital kerjaan.- DagangNews.com