Maxis perluas kerjasama strategik dengan Google Cloud mengintegrasikan inovasi canggih GenAI terkini | DagangNews Skip to main content

Maxis perluas kerjasama strategik dengan Google Cloud mengintegrasikan inovasi canggih GenAI terkini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Feb - Maxis memperluaskan kerjasama strategiknya dengan Google Cloud dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan generatif (GenAI) ke dalam aliran kerja dan penawaran perkhidmatan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, inisiatif itu menekankan komitmen berterusan Maxis untuk menyediakan inovasi yang terbaik kepada pelanggan dengan menggunakan perkembangan teknologi terkini dalam operasi harian.

 

Beliau berkata, GenAI berpotensi untuk merevolusikan transformasi digital perniagaan perusahaan dan Maxis bertujuan untuk berada di barisan hadapan dalam memacu penerimagunaan digital bagi kedua-dua sektor awam dan swasta. 

 

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Google Cloud untuk membolehkan GenAI gred perusahaan dalam persekitaran dalaman dan perkhidmatan pelanggan, memanfaatkan platform Duet AI for Developers untuk bantuan pengekodan dalam bahasa semula jadi dikuasakan AI dan keupayaan multimodal daripada model Gemini pada platform Vertex AI.

 

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Google Cloud dalam menceburi bidang inovatif GenAI untuk menyediakan organisasi kami untuk masa hadapan. Sebagai penyedia telekomunikasi bersepadu yang terkemuka, kami berharap dapat membangunkan inovasi berkesan yang memanfaatkan keupayaan GenAI," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pengurus Negara Malaysia Google Cloud, Patrick Wee pula berkata, integrasi Maxis dengan pengurusan data bersatu Google Cloud dan platform pembelajaran mesin pada tahun 2020  menunjukkan kebijaksanaannya dalam membina asas yang sedia AI. 

 

Katanya, asas itu sekarang membolehkan Maxis untuk menggunakan keupayaan GenAI gred perusahaan Google Cloud dengan pantas dan pada skala untuk memanfaatkan potensi penuh data dan menghasilkan nilai perniagaan yang jelas. 

 

 

maxis
Goh Seow Eng

 

 

maxis

 

 

"Dengan memberdayakan pekerja untuk mengekstrak pandangan daripada jumlah data yang besar dalam bahasa semula jadi dan mewujudkan kod perisian, Maxis dapat menyelaraskan operasinya, memperkenalkan perkhidmatan digital baharu ke pasaran dengan lebih pantas, dan mencipta pengalaman pelanggan yang unggul," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, Maxis juga akan melanjutkan pembelajaran GenAI melalui program komuniti utamanya, eKelas Usahawan dan eKelas, untuk meningkatkan kemahiran individu dan pelajar sekolah dalam dunia yang semakin didorong oleh AI. 

 

 

maxis

 

 

Selain itu katanya, Maxis dan Google Cloud terus membangunkan rumusan GenAI gunaan untuk analitik data dan keselamatan siber serta memperluaskan peluang peningkatan kemahiran dan pembelajaran GenAI kepada pekerja Maxis.

 

 

maxis
Patrick Wee

 

 

"Kerjasama ini diumumkan sempena Mobile World Congress (MWC) 2024 yang berlangsung di Barcelona, Sepanyol dari 26 hingga 29 Februari 2024, yang mana Maxis menyertai sebagai sebahagian daripada Pavilion Malaysia. 

 

"Syarikat menjangka akan dapat menjalin lebih banyak kerjasama sedemikian yang diterajui inovasi semasa MWC 2024 sebagai sebahagian daripada delegasi Malaysia," katanya. - DagangNews.com