Maxis tawar pos percuma peranti untuk dikitar semula menerusi Pos Malaysia | DagangNews Skip to main content

Maxis tawar pos percuma peranti untuk dikitar semula menerusi Pos Malaysia

Peranti e-sisa yang diuruskan rakan kongsi Maxis, ERTH.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 11 Jun - Maxis memperluaskan kempen kitar semula sisa elektronik (e-sisa) dengan perkhidmatan penghantaran pos percuma di 1,000 cawangan Pos Malaysia di seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Menurut Maxis, sesiapa yang menetap di dalam atau di luar kawasan perkhidmatan kutipan boleh memilih untuk menghantar peranti e-sisa mereka ke rakan kempen Maxis, Electronic Recycling Through Heroes (ERTH) melalui lebih daripada 1,000 cawangan Pos Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Sumber Manusia & Transformasi Maxis, Patrick Er berkata, syarikat komited untuk mengurangkan kesan bahaya e-sisa dan menjadi pemangkin kepada perubahan alam sekitar yang positif.

 

"Kemajuan yang telah kami capai dengan ERTH mengetengahkan kepentingan menjadikan pengitaran semula e-sisa mudah diakses oleh semua pengguna.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi untuk meluaskan jangkauan kempen serta memupuk tabiat pelupusan dan kitar semula e-sisa yang bertanggungjawab di seluruh negara, bagi menyumbang kepada ekonomi kitaran yang lebih hijau dan masa depan yang lebih mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

erth
Sukarelawan ERTH menguruskan kutipan e-sisa.

 

Jelas pengasas ERTH, Mohamed Tarek El-Fatatry, sejak penubuhannya, ERTH telah menerima permintaan kitar semula dari seluruh negara, beberapa dari luar kawasan liputan koleksi dan yang lain dengan kuantiti barang yang kurang daripada minimum yang diperlukan untuk kutipan percuma. 

 

"Oleh itu, kami telah bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menjadikan kitar semula e-sisa mudah diakses di seluruh Semenanjung Malaysia, tanpa mengira liputan atau kuantiti. 

 

"Kami gembira kerana perkhidmatan pos drop-off ni telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan jumlah kutipan dan kami sukacita dapat melanjutkan pilihan pos tambahan ini kepada kerjasama kami dengan Maxis yang kini sudah berjaya,” katanya.

 

Untuk menghantar peranti mereka, pengguna hanya perlu mengisi borang permintaan melalui laman web Maxis dan menyenaraikan barangan yang mereka ingin kitar semula untuk menerima label penghantaran percuma Pos Malaysia. 

 

Setakat ini, kempen kitar semula e-sisa Maxis dengan ERTH telah mengumpul lebih daripada 15,000 peranti, menghalang lebih daripada 29 tan e-sisa daripada terkumpul di tapak pelupusan. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen kitar semula e-sisa dan cara mengitar semula peranti anda secara bertanggungjawab, layari www.maxis.com.my/ewaste/ - DagangNews.com