Maybank Asset Management tawar peluang pelaburan ekuiti ESG Syariah | DagangNews Skip to main content

Maybank Asset Management tawar peluang pelaburan ekuiti ESG Syariah

Maybank Asset Management Sdn. Bhd.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Maybank Asset Management Sdn. Bhd. menawarkan peluang pelaburan terutamanya dalam pelaburan portfolio ekuiti ESG Syariah melalui pelancaran Maybank Global Sustainable Equity-I Fund (MGSEIF).

Maybank Asset Management berkata, dana ekuiti global itu mengambil kira faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaburan bagi meningkatkan pulangan jangka panjang.

"MGSEIF menawarkan peluang kepada pelabur yang mencari potensi meraih pendapatan dan pertumbuhan modal terutamanya dalam pelaburan portfolio ekuiti ESG Syariah.

"Ia direka untuk pelabur yang menginginkan potensi pertumbuhan dan pendapatan modal jangka panjang, berminat melabur dalam kepelbagaian portfolio ekuiti Syariah global yang memenuhi kelestarian dana," kata Maybank Asset Management dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaburan MGSEIF akan membuat pelaburan sekurang-kurangnya 80% dalam ekuiti dan sekuriti patuh Syariah.

Manakala pelaburan hingga 20% dalam aset cair yang berlandaskan syariat Islam.

Keunikan dana itu juga dapat dilihat melalui pelaburan yang dijalankan berdasarkan model kelestarian atau kemampanan ekuiti sejagat dengan mengintegrasikan nilai ESG dalam proses membuat keputusan pelaburan.

MGSEIF ditawarkan dalam tiga kelas mata wang iaitu dolar Amerika Syarikat (AS), ringgit Malaysia dan lindung nilai ringgit Malaysia. 

Unit dana tersebut boleh dibeli dengan pelaburan awal sekurang-kurangnya RM1,000 atau AS$1,000 (AS$1=RM4.17).

Manakala untuk pelaburan tambahan dengan nilai sekurang-kurangnya RM100 atau AS$100. - DagangNews.com