Maybank Asset Mgmt lantik OCBC sebagai rakan pengedar produk pelaburan | DagangNews Skip to main content

Maybank Asset Mgmt lantik OCBC sebagai rakan pengedar produk pelaburan

Dari kiri Syhiful Zamri (CIO MAM Malaysia); Ahmed Muzni (CEO Maybank Islamic Asset Management); Ahmad Najib Nazlan (CEO MAM Malaysia); Dato' Ong Eng Bin, CEO OCBC, Syed Abdull Aziz Syed Kechik (CEO OCBC Al-Amin) dan Anne Leh, MD OCBC Bank pada majlis memeterai kerjasama antara kedua-dua bank di Kuala Lumpur, 18 Oktober 2021.

 


KUALA LUMPUR 18 Okt – Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) mengumumkan pelantikan OCBC Malaysia yang meliputi OCBC Bank (Malaysia) Berhad dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank Berhad sebagai rakan pengedaran baharunya. Ini bermakna dana-dana MAM Malaysia kini tersedia kepada klien OCBC Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAM Malaysia, Ahmad Najib Nazlan berkata, kerjasama ini menggabungkan kekuatan MAM Malaysia dan OCBC Malaysia untuk menambah nilai kepada barisan klien OCBC Malaysia sambil membolehkan pihaknya mencapai lebih ramai pelabur.

 

Beliau berkata, pihaknya bersedia menawarkan penyelesaian dan perkhidmatan pelaburan inovatif kepada klien OCBC melalui rangkaian pengedaran OCBC Malaysia dengan kepakaran dan pengalaman pelaburan Maybank Asset Management Group.

 

Menerusi kerjasama ini juga kata beliau, matlamat pihaknya adalah untuk meningkatkan kesedaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam kalangan pelabur, disokong oleh pelbagai dana pelaburan berkaitan ESG dan lestari.

 

‘’Kelestarian bukan sekadar ungkapan semata-mata, malah merupakan kunci kepada masa depan dunia yang lebih baik dan memainkan peranan utama dalam perancangan perniagaan MAM Malaysia.

 

‘’Oleh itu, kerjasama ini akan turut memberi penekanan terhadap pelaburan lestari yang bertujuan menyediakan pulangan kewangan dan matlamat yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Ahmad Najib berkata, pihaknya teruja untuk memulakan kerjasama baharu ini dengan menawarkan Dana REITs Maybank Singapura, satu daripada dana berprestasi yang terbaik kepada para pelabur OCBC Malaysia.

 

‘’Dana REITs Maybank Singapura ini unik kerana ia satu-satunya dana REITs Singapura yang terdapat di pasaran,” ujarnya.

 

Singapura terkenal sebagai hab REITs yang tersenarai di peringkat antarabangsa dengan 80% pegangan harta tanah SREITS di luar Singapura iaitu di AS, Eropah, Hong Kong, China, Australia dan India.

 

Pasaran SREITS merupakan pasaran REITS kedua terbesar di Asia dengan lebih empat puluh (40) REITs yang boleh dilabur, dan salah satu REITS yang memberi pulangan hasil tertinggi di dunia dengan hasil purata 5% setahun.  


 

Ahmad Najib Nazlan
Ahmad Najib Nazlan

 


Sejak pelancarannya pada 2018, dana REITs Maybank Singapura menyediakan pendedahan estet peruncitan peringkat 1, bertindak sebagai lindung nilai inflasi dan menumpukan kepada penghasilan pendapatan dengan rekod pengagihan pendapatan yang terbukti sebanyak 5.13% setahun*, dibayar dua kali setahun.

 

Pasaran SREITs dijangka mengalami pemulihan memandangkan Singapura telah mencapai kadar vaksinasi penuh 80% daripada jumlah penduduknya.

 

Sentimen terhadap sektor ini juga kini bertambah baik setelah United States Federal Reserve menjelaskan garis panduannya bagi memastikan kadar faedah tetap rendah.

 

Di samping itu, SREITS modal kecil dan sederhana dijangka akan memperoleh manfaat daripada aliran dana yang lebih tinggi ekoran kemasukannya dalam indeks harta tanah utama pada minggu lepas.

 

Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Pengarah Urusan & Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh berkata, pihaknya memang sedang berusaha untuk memperluaskan rangkaian penawaran pelaburan berkaitan ESG sebagai sebahagian daripada perancangan untuk meningkatkan pilihan pembiayaan dan pelaburan hijau.


 

Anne Leh
Anne Leh

 

 

“Sungguhpun kami akan mengedarkan pelbagai penyelesaian pelaburan daripada Maybank Asset Management, matlamat utama kami adalah menawarkan lebih banyak lagi dengan ciri-ciri lestari.

 

‘’Usaha kelestarian bahagian peruncitan adalah sebahagian daripada strategi ESG keseluruhan dan bersepadu pihak Bank, juga sebahagian daripada strategi “S$25 bilion menjelang 2025” Kumpulan OCBC,’’ ujarnya.

 

Kumpulan OCBC turut menetapkan sasaran 2025 untuk memiliki 80% daripada keseluruhan pelaburan AUMnya untuk Perbankan Pengguna yang diiktiraf sebagai pelaburan lestari.

 

Kini, sasaran ini sedang dicapai dengan lebih separuh daripada pelaburan AUM semasa mendapat pengiktirafan sewajarnya.

 

‘’Kami berharap kerjasama dengan Maybank Asset Management ini akan mengukuhkan lagi penawaran ESG kami secara keseluruhan yang merupakan sasaran kami dan para pelabur kelestarian.

 

‘’Kami sedang merancang kerjasama dengan Maybank Asset Management untuk menawarkan pelaburan berasaskan ESG sedikit masa lagi,” tambah beliau. – DagangNews.com