Maybank IB jangka KDNK 2024 berkembang pada kadar 4.4% | DagangNews Skip to main content

Maybank IB jangka KDNK 2024 berkembang pada kadar 4.4%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 berkembang pada pada kadar 4.4% didorong prestasi positif Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia, Indeks Perdagangan Pengedaran dan minyak sawit mentah.

 

Katanya, anggaran pertumbuhan KDNK tahun penuh 2023 ialah 3.9% memberi bayangan bahawa pertumbuhan suku keempat 2023 berada dalam julat antara 3.7% hingga 4.1%.

 

Anggaran awal KDNK suku keempat 2023 akan dikeluarkan pada 19 Januari 2024.

 

"November 2023 menyaksikan Indeks Pengeluaran Perindustrian lebih perlahan tetapi pengeluaran minyak sawit mentah dan Indeks Perdagangan Pengedaran kekal stabil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat marginal 0.6% pada November 2023 - DOSM

 

Firma penyelidikan itu berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat kepada 0.6% pada November 2023 kesan penurunan dalam sektor pembuatan dan perlombongan dan elektrik dalam keadaan sederhana.

 

Katanya, pertumbuhan pembuatan terjejas oleh penguncupan dalam industri berorientasikan eksport seperti komputer & produk optik kok & produk petroleum bertapis dan kayu & produk kayu.

 

Bagaimanapun ia disokong pertumbuhan berterusan dalam industri berorientasikan domestik merangkumi kenderaan bermotor, treler & semi-treler, percetakan & pengeluaran semula media rakaman dan produk tembakau.

 

"Sektor perlombongan menjadi perlahan, mencerminkan aliran yang sama dalam minyak mentah & kondensat dan gas asli tetapi momentum positif keluaran minyak sawit mentah pada buan itu dikekalkan.

 

Sementara itu, momentum pertumbuhan Indeks Perdagangan Pengedaran juga kekal memandangkan peningkatan dalam pertumbuhan jumlah perdagangan borong dan perdagangan runcit dalam keadaan sederhana dalam jumlah dagangan kenderaan bermotor. - DagangNews.com