KUALA LUMPUR 10 Ogos - Maybank Investment Bank (IB) positif terhadap penyertaan SP Setia Bhd. dalam pembangunan taman perindustrian di Lembah Klang yang dilaksanakan buat kali pertama.
Berdasarkan kedudukannya yang strategik berhampiran Pelabuhan Klang, firma itu menjangkakan projek tersebut akan menjadi tumpuan pelabur tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya, taman perindustrain berkeluasan 398.6 ekar itu yang terletak di Setia Alaman, akan mendapat manfaat daripada aktiviti di Pelabuhan Klang.
"Difahamkan SP Setia telah menerima banyak pertanyaan berhubung projek ini, dan pihak pengurusan sedang membuat permohonan untuk mendapatkan kelulusan perancangan dan menukar pengezonan kepada perindustrian (daripada kediaman).
"Bagaimanapun, nilai pembangunan kasar (GDV) bagi projek ini belum lagi diumumkan tetapi ia dijangka dilancarkan pada pertengahan 2023," katanya dalam nota kajian.
Sebelum ini, SP Setia membangunkan 2 taman perniagaan di Johor dan penyertaannya dalam pembangunan taman perindustrian adalah buat kali pertama.
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap SP Setia dengan harga sasaran tidak berubah pada 72 sen.
Pada masa sama, menurutnya, kumpulan juga memberi fokus untuk mengurangkan paras hutangnya menerusi kerjasama strategik dalam projek baharu.
Di samping itu, katanya, SP Setia juga meninjau untuk menjana kewangan daripada bank tanahnya (terutama yang belum mempunyai pelan pembangunan dalam tempoh 5 tahun lagi)
"Penghantaran balik aliran tunai daripada projek luar negara juga akan membantu mengurangkan tahap hutangnya," jelasnya.
Setakat akhir Mac 2022, penggearan bersih SP Setia adalah pada 0.63 kali berbanding purata industri pada 0.37 kali.
Dalam pada itu, Maybank IB menyifatkan peletakan jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi, Datuk Seri Koe Peng Kang sebelum kontrak 2 tahunnya berakhir pada Oktober 2023 adalah sesuatu yang mengejutkan.
"Buat masa ini, belum ada lagi pengumuman bagi menggantikan jawatan beliau dibuat," katanya.
Setakat 12.15 tengah hari, harga saham SP Setia susut 1 sen atau 1.23% kepada 80 sen dengan 1.53 juta saham diniagakan. - DagangNews.com