Maybank IB kekal saranan 'jual' terhadap TH Plantations | DagangNews Skip to main content

Maybank IB kekal saranan 'jual' terhadap TH Plantations

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Feb - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan penarafan saham TH Plantations Bhd. dengan saranan 'jual' di sebalik harga sasaran (TP) disemak lebih tinggi kepada 71 sen daripada 48 sen sebelum ini. 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Ong Chee Ting berkata, syarikat perladangan itu kekurangan pemangkin. 

 

Katanya, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras TH Plantations dinaikkan bagi tahun kewangan 2022 (FY2022) dan FY2023 masing-masing sebanyak 210% dan 28%. 

 

Ia berdasarkan semakan semula unjuran harga jualan purata (ASP) minyak sawit mentah (MSM) kepada RM4,100 satu tan metrik bagi 2022 dan RM3,200 untuk 2023. 

 

"Meskipun kami mengunjuran ASP harga sawit yang lebih tinggi, tetapi kami terus beranggapan bayaran dividen sifar pada masa hadapan.

 

"Ini kerana tiada bayaran dividen dicadangkan bagi FY2021 memandangkan gearan bersih TH Plantations yang tinggi sebanyak 126%, menentukan keperluan untuk mengurangkan sebagai keutamaan," katanya.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), untung bersihnya meningkat kepada RM70.17 juta daripada RM13.99 juta bagi tempoh sama 2020 didorong harga purata MSM dan isirung sawit direalisasikan yang lebih tinggi.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut melonjak 37.1% kepada RM760.8 juta daripada RM555.09 juta terutamanya disokong pengeluaran dan harga purata produk sawit direalisasikan yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, untung bersih suku keempat berakhir 31 Disember 2021 meningkat14.8%  kepada RM1.83 juta daripada RM1.59 juta bagi tempoh sama 2020, manakala pendapatan meningkat 71.3% kepada RM247.55 juta darpada RM144.55 juta.

 

Secara keseluruhan, Chee Ting berkata, PATMI teras bagi FY2021 mengatasi anggarannnya sebanyak 36% berikutan harga MSM yang tinggi.  

 

Beliau menganggarkan kos pengeluaran pada FY2021 berada pada RM2,735 satu tan metrik yang lebih tinggi disebabkan oleh hasil buah tandan segar yang lebih rendah sebanyak 13.36 tan metrik per hektar dan bayaran cukai langsung yang lebih tinggi. 

 

"Pengeluaran buah tandan segar bagi FY2021 susut 16% tahun ke tahun kepada 700,000 tan metrik disebabkan masalah kekurangan tenaga buruh terutamanya di Sarawak.

 

"Oleh itu, bagi FY2022, kami menjangkakan tidak pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar kepada kumpulan," jelasnya.

 

Dalam pada itu, menurutnya, sebanyak RM777 juta aset TH Plantations telah diperuntukkan untuk dilupuskan. 

 

"Tanpa sebarang pelupusan aset, kami menganggarkan penggearan bersih kumpulan akan kekal tinggi kira-kira 100% menjelang akhir FY2022," tambahnya.

 

Setakat 12.24 tengah hari ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 1.19% kepada 85 sen dengan 10.46 juta saham diniagakan. - DagangNews.com