Maybank IB naikkan harga sasaran Favelle Favco kepada RM1.85 sesaham | DagangNews Skip to main content

Maybank IB naikkan harga sasaran Favelle Favco kepada RM1.85 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Feb - Maybank Investment Bank (IB) menaikkan harga sasaran Favelle Favco Bhd. kepada RM1.85 daripada RM1.70 sesaham sebelum ini dengan menjangkakan prospek tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) yang lebih kukuh. 

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan kumpulan mungkin tidak mampu membayar dividen menyamai tahun kewangan sebelum ini (FY20-FY21) sebanyak 8 sen pada FY23 hingga FY25, berikutan kedudukan kewangan yang lemah ketika ini. 

 

"Untuk itu, kami melihat pemangkin yang minimum bagi merangsang pasaran. Namun, kami menaikkan harga sasaran Favelle Favco, sebaliknya mengekalkan saranan 'pegang' terhadap penarafan sahamnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Memandangkan keuntungan dijangka meningkat 24% tahun ke tahun pada FY23, ia menaikkan anggaran nisbah pembayaran dividen bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 17 hingga 18% (berbanding 9 hingga 12% sebelum ini).

 

Dari segi operasi, menurutnya, pada ketika ruang minyak dan gas menyaksikan pemulihan ketara, dalam sentimen dan aktiviti, ia masih mempunyai kesan terhadap keuntungan/nilai kontrak Favelle.

 

"Pengurusan kos akan terus menjadi salah satu keutamaannya, di samping kemampanan nilai kontrak," tambahnya.

 

Kumpulan merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM14.64 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 daripada RM12.34 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan menyusut kepada RM191.4 juta daripada RM199.42 juta.

 

Bagi tahun kewangan penuh FY22, untung bersihnya susut kepada RM37.34 juta daripada RM48.12 juta bagi tempoh sama FY21 dengan pendapatan merosot kepada RM581.7 juta daripada RM610.22 juta.

 

Penurunan itu terutamanya disebabkan pengeluaran kren terjejas dengan kuarantin beberapa kakitangan operasi dan pekerja akibat kes COVID-19 dalam tempoh tersebut dan kos yang lebih tinggi daripada perang Ukraine.

 

Setakat 11.31 pagi, harga sahamnya menokok 6 sen atau 3.39% kepada RM1.83 dengan 179,300 saham diniagakan. - DagangNews.com