KUALA LUMPUR 29 Mac - YTL Power International Bhd. kini bersedia untuk melaksanakan projek baharu atau sebarang pengambilalihan berikutan kedudukan tunai bersih yang kukuh, menurut Maybank Investment Bank (IB) Research.
Ini berikutan pelupusan pegangan 33.5% miliknya dalam firma transmisi tenaga yang berpangkalan di Australia, ElectraNet Pty Ltd. melonjakkan kedudukan tunai YTL Power sebanyak RM3 bilion.
"Di peringkat pegangan pelaburan dengan hasil pelupusan, kami anggarkan tunai kasar YTL Power sebanyak RM10.5 bilion, dan tunai bersih pada RM1.9 bilion menjelang akhir tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).
"Ia kini serba lengkap bagi meneruskan projek berintensifkan perbelanjaan modal (capex) baharu (seperti solar, pusat data dan perbankan digital) atau melaksanakan pengambilalihan pada masa hadapan," katanya dalam nota kajian.
Bagaimanapun, firma itu berkata, pada harga saham semasa, pelabur secara efektif menolak tunai bersih pegangan pelaburan (23 sen sesaham) dan potensi pertambahan masa hadapan yang berkaitan.
Maybank IB percaya hasil YTL Power telah merosot. Dengan gandaan urus niaga sebanyak 40x nisbah harga kepada pendapatan (PER), ia menjangkakan kerugian hasil Electranet sebahagian besarnya diimbangi oleh pendapatan faedah tambahan.
"Power Seraya sepatutnya menyaksikan pendapatan yang bertambah baik pada suku berikutnya selepas mengalami kos bahan api yang meningkat pada suku kedua FY22 daripada gangguan bekalan bahan api sementara.
"Sementara itu, pentauliahan Attarat Power pada FY23 akan menyaksikan peningkatan seterusnya dari segi pendapatan," jelasnya.
Kali terakhir YTL Power melaksanakan pengambilalihan adalah pada 2009 menerusi Power Seraya di Singapura.
PowerSeraya merekodkan keuntungan dan meningkat dengan ketara pada tahun-tahun awal selepas pengambilalihan tetapi kemudiannya mencatat kerugian pada FY19-FY20 memandangkan lebihan bekalan dalam industri.
Namun, Maybank IB mengulangi saranan 'beli' terhadap YTL power dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada 90 sen daripada 67 sen sebelum ini.
Ia percaya YTL Power boleh mengekalkan dividen tahunan 5 sen sesaham dengan selesa pada tahun-tahun akan datang.
"Selain itu, kami turut menaikkan unjuran untung bersih bagi FY22, FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak 17%, 5% dan 0.4% untuk mencerminkan prestasi kewangan yang dikemaskini," katanya.
Setakat 12.13 tengah hari, harga saham YTL Power susut 1.5 sen atau 2.19% kepada 67 sen dengan 3.38 juta saham diniagakan. - DagangNews.com