Maybank IB 'neutral' terhadap usaha Gamuda memasuki ruang hartanah komersial London | DagangNews Skip to main content

Maybank IB 'neutral' terhadap usaha Gamuda memasuki ruang hartanah komersial London

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - Maybank Investment Bank (Maybak IB) berpandangan neutral terhadap kerjasama Gamuda Berhad bagi mendapatkan hartanah komersial di London menerusi pemerolehan Winchester House sebagai sebahagian daripada strategi projek pemulihan pantas (QTP) bagi operasi hartanah.

 

Firma itu berkata, walaupun potensi pulangan adalah besar (anggaran kadar pulangan dalaman (IRR) sebanyak 27%) namun kebimbangan utama adalah mendapatkan perjanjian pra-pajakan bersama penyewa berkualiti.

 

Selain itu, kumpulan itu juga berdepan garis masa lebih panjang untuk mengurangkan pegangan ekuiti dan keluar daripada pelaburan itu secara keseluruhan.

 

Firma itu berkata, kos naik taraf Winchester House dianggarkan sebanyak 290 juta pound sterling (RM1.57 bilion).

 

Katanya, termasuk pembiayaan dan kos lain, jumlah pelaburan sehingga selesai pengubahsuaian adalah dianggarkan 733 juta pound sterling (RM3.97 bilion) dengan sumbangan ekuiti oleh Gamuda (untuk 75% pegangan) ialah 192 juta pound sterling (RM1.03 bilion).

 

"Gamuda berharap dapat membawa masuk pelabur ekuiti ketiga dan mengurangkan pegangannya kepada 38% yang akan membolehkannya mengakaunkan ekuiti pelaburan dan mengelak daripada menyatukan hutang.

 

"Kumpulan itu menjangkakan untuk menggandakan pelaburan ekuitinya sebelum keluar menjelang penghujung 2027," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu bekerjasama dengan Castleforge Partners Ltd melalui Venta Belgarum II Ltd Partnership (VB II), memeterai perjanjian jual dan beli untuk mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam Wessex Winchester Propco Ltd (Prop Co), pemilik Winchester House di London nilai 257 juta pound sterling  (RM1.39 bilion) daripada Wessex Winchester Ltd Partnership.

 

VB II adalah kerjasama pembangunan 75:25 di mana Gamuda memegang kepentingan lebih besar, dibentuk antara anak syarikat milik penuh Gamuda di Labuan iaitu Gamuda Land (Labuan) Ltd dan entiti kerjasama 100% Castleforge, Athelstan Ltd.

 

Firma itu berkata, untuk dua tahun pertama, kumpulan itu hanya akan menanggung kos pembiayaan untuk pelaburan ekuitinya sebanyak 52 juta pound sterling (RM281 juta) manakala sewa pajakan daripada Deutsche Bank sehingga April 2024 akan mengimbangi kos faedah ke atas hutang 188 juta pound sterling (RM1.01 bilion) untuk pengambilalihan.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM4.60 sesaham. - DagangNews.com