Maybank IB unjur Hibiscus Petroleum catat keuntungan lebih lemah pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

Maybank IB unjur Hibiscus Petroleum catat keuntungan lebih lemah pada 2QFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - Hibiscus Petroleum Berhad diunjur mencatatkan keuntungan yang lebih lemah pada 2QFY24 kesan daripada penyusutan jumlah pengeluaran minyak.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, keadaan itu mungkin diburukkan lagi dengan purata harga minyak yang lebih rendah sepanjang Oktober hingga Disember 2023 (AS$86/bbl).

 

"Bagaimanapun, pada asas setahun penuh, kami melihat pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 7% pada FY24 berdasarkan andaian harga minyak mentah USD80/bbl pada tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM154.29 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2023 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1QFY24) berbanding RM135.26 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Hasil, syarikat cari gali dan pengeluaran minyak dan gas itu juga meningkat 23% kepada RM746.62 juta berbanding RM604.76 juta.

 

Sejumlah 1.4 juta tong (MMbbl) minyak dan kondensat dan 0.6 juta tong setara minyak (MMboe) gas telah dijual pada 1QFY24 manakala pengeluaran bersih melebihi 20,000 boe sehari.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga menyasarkan menyasarkan untuk mencapai minyak pertama daripada SF30 Water Flood Fasa 2 (di mana pembangunan memerlukan 6 penyuntik air dan 5 telaga pengisi) pada awal FY25 dan medan Teal West pada 2HFY25.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus menjadi penerima manfaat yang jelas bagi persekitaran harga minyak mentah yang lebih tinggi dalam jangka sederhana.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.99 sesaham," katanya. - DagangNews.com