MBSB Bank tawar skim jaminan kerajaan M-GGS dengan pembiayaan sehingga RM20 juta setiap syarikat | DagangNews Skip to main content

MBSB Bank tawar skim jaminan kerajaan M-GGS dengan pembiayaan sehingga RM20 juta setiap syarikat

(Dari kiri) Datuk Nor Azam M. Taib dan Chen Yin Heng dalam majlis pengumuman perkongsian strategik MBSB Bank dan SJPP di ibu pejabat bank itu di Petaling Jaya hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) kini menawarkan Skim Jaminan Kerajaan (M-GGS) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat bersaiz pertengahan.

 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, bank itu berkata pemohon boleh mendapat manfaat daripada tawaran menarik M-GGS seperti bayaran rendah terhadap jumlah perlindungan jaminan pada 0.75%, tempoh pembiayaan 10 tahun serta pembiayaan sehingga RM20 juta bagi setiap syarikat.

 

M-GGS ditubuhkan melalui perjanjian antara MBSB Bank dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) bagi meningkatkan agenda pembangunan PKS dan syarikat bersaiz pertengahan.

 

Selain itu, bank itu akan membantu mereka mengurus modal kerja dan melabur dalam perbelanjaan modal untuk memulihkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

 

 

Datuk Nor Azam M. Taib dan Chen Ying Heng bersama ahli pasukan pengurusan masing-masing
Datuk Nor Azam M. Taib dan Chen Ying Heng bersama ahli pasukan pengurusan masing-masing

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata bank itu menyasarkan untuk mencapai kira-kira RM600 juta dalam pembiayaan yang diluluskan di bawah M-GGS menjelang akhir tahun.

 

Menurut beliau, tawaran baharu tersebut membuktikan komitmen bank untuk mempercepatkan usaha membantu PKS dan syarikat bersaiz pertengahan dalam mengekalkan operasi perniagaan dan membolehkan mereka kekal berdaya saing dalam cabaran persekitaran pada masa ini.

 

“Selain M-GGS, MBSB Bank turut menawarkan Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) kepada PKS dan syarikat bersaiz pertengahan terpilih, khususnya bagi mereka yang terlibat dalam pengeluaran dan eksport makanan.

 

“MBSB Bank juga mempunyai program pembiayaan sedia ada yang sesuai untuk PKS dan MSC seperti Pembiayaan Peralatan-i, Pembiayaan Berjangka-i, Talian Tunai-i, Kredit Pusingan-i, Jaminan Bank-i, Pembiayaan Kontrak-i serta M TRADE.”

 

Sementara itu, Pegawai Utama SJPP, Chen Yin Heng berkata kerajaan komited menyokong perniagaan PKS dan telah menyediakan bantuan berterusan melalui pelbagai inisiatif, produk dan perkhidmatan, termasuk pelbagai skim jaminan yang diuruskan oleh SJPP.

 

Menurut Yin Heng, SJPP telah membantu lebih 73,000 PKS dengan jumlah pembiayaan kira-kira RM73 bilion sejak penubuhannya pada 2009.

 

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut berkenaan M-GGS di laman web MBSB Bank atau hubungi 03-2096 3000. -DagangNews.com