MDEC lancar Alat Penilaian Kesediaan Data, Analitik dan AI percuma | DagangNews Skip to main content

MDEC lancar Alat Penilaian Kesediaan Data, Analitik dan AI percuma

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menjalin kerjasama dengan firma penyelidik pasaran, International Data Corporation (IDC) bagi melancarkan alat penilaian kesediaan untuk Data,Analitik dan Kecerdasan Buatan (AI) oleh syarikat-syarikat tempatan.

 

Inisiatif ini membolehkan perniagaan dan organisasi mendapat sokongan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan bagi meningkatkan operasi, taktikal dan strategi di samping mengembangkan aset perniagaan dengan lebih luas dan seterusnya berdepan cabaran pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, untuk menerima pelbagai manfaat IR4.0, organisasi perlu mempercepatkan penggunaan teknologi data. 

 

Katanya, menerusi kajian terbaharu Adoption Artificial Intelligence (AI) yang dilakukan oleh IDC mendapati
lebih daripada 52% syarikat dan perniagaan di Asia Pasifik masih berada pada peringkat awal penggunaan AI.

 

"Sehubungan itu, alat penilaian yang dikembangkan oleh MDEC bersama IDC ini akan memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dalam perjalanan operasi mereka. 

 

"Ini seterusnya dapat membantu mereka bersedia mengharungi IR4.0 selaras dengan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) bagi meningkatkan daya saing ekonomi menerusi pendigitalan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Penilaian Kesediaan Data, Analitik dan AI merupakan perkhidmatan oleh program perniagaan didorong data oleh MDEC.

 

Alat Penilaian Kesediaan Data, Analisis dan Kecerdasan Buatan ini ‘terhasil’ berdasarkan pengalaman
luas IDC dalam penyelidikan.

 

Kerangka kerja telah dikembangkan untuk membantu dalam menilai data organisasi, analisis dan kesediaan AI serta untuk mengenal pasti kekuatan bidang-bidang yang boleh dipertingkatkan untuk memaksimumkan kemampuan organisasi. 

 

Penilaian ini disasarkan untuk pengurusan tertinggi dalam perniagaan, operasi dan teknlogi maklumat di semua industri. 

 

Ia seterusnya membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk menilai semula strategi digital masing-masing atau berdepan risiko ketinggalan kepada pesaingnya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan IDC ASEAN, Sudev Bangah berkata, penilaian kesediaan ini akan membantu syarikat di Malaysia untuk menilai kedudukan dan kesediaan mereka menjadi organisasi berdasarkan data dan terlibat dalam IR4.0. 

 

"Walaupun terdapat peningkatan minat terhadap AI dan analitik, dalah penting untuk menilai kesediaan syarikat untuk membuktikan bahawa teknologi mempunyai nilai untuk mencapai matlamat perniagaan organisasi
pada masa depan. 

 

"Menjadi satu penghormatan kepada IDC untuk bekerjasama dengan MDEC dalam menyumbang kepada pengembangan alat penting ini. Kami akan terus bekerjasama dengan MDEC untuk memacu digital ke hadapan," katanya. - DagangNews.com