MEDAC peruntuk RM362.79 juta untuk peniaga gagal teruskan operasi | DagangNews Skip to main content

MEDAC peruntuk RM362.79 juta untuk peniaga gagal teruskan operasi

usahawan

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan sebanyak RM362.79 juta bagi golongan peniaga yang gagal meneruskan perniagaan akibat daripada wabak COVID-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Shamsudin berkata, jumlah tersebut adalah kos yang diperuntukkan bagi pelaksanaan Pelan Pemulihan tahun 2020 dan 2021.

"Langkah alternatif dan program mitigasi yang dilaksanakan oleh MEDAC bagi golongan peniaga yang gagal meneruskan perniagaan mereka merangkumi pembiayaan, latihan dan pembangunan kapasiti.

"Pelan Pemulihan ini mengandungi 29 program jangka pendek dan sederhana di bawah enam strategi yang dijangka akan memanfaatkan lebih 20,000 penerima," jelasnya ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) di Dewan Rakyat hari ini.

Mas Ermieyati Shamsudin
Mas Ermieyati Shamsudin 

 

Jawapan tersebut diberikan selepas Hasbullah meminta menteri MEDAC menyatakan langkah-langkah alternatif oleh pihak MEDAC bagi golongan peniaga yang gagal meneruskan perniagaan akibat COVID-19.

Hasbullah turut meminta MEDAC menyatakan program mitigasi untuk mengelakkan peniaga tersebut daripada terputus pendapatan akibat tidak bekerja.

Mas Ermieyati yang mewakili menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menambah, sebanyak enam strategi telah dirangka khusus bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera selain memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

Jelasnya lagi, objektif pelan tersebut adalah untuk memastikan pemulihan serta kelestarian operasi perniagaan usahawan yang terjejas akibat penularan wabak.

Hasbullah Osman
Hasbullah Osman

 

"Tempoh pelaksanaan adalah selama satu tahun dan terbahagi kepada dua fasa iaitu Fasa 1: Mei hingga Disember 2020 dan Januari hingga Mei 2021 bagi Fasa 2.

"Antara program yang terlibat adalah Pembiayaan Covid Business Recovery-Micro (CBRM), TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) dan TEKUN Mobilepreneur di bawah TEKUN Nasional," jelasnya.

Turut terlibat sama ialah program SME Technology Transformation Fund (STTF) dan Skim SME GO di bawah SME Bank serta BR-CARES dan BizLady untuk usahawan wanita di bawah Bank Rakyat. - DagangNews.com