MEDCOMM Siswa jelajah 12 kampus UiTM Semenanjung Malaysia sehingga 29 Oktober 2023 | DagangNews Skip to main content

MEDCOMM Siswa jelajah 12 kampus UiTM Semenanjung Malaysia sehingga 29 Oktober 2023

Prof Dr Mohd Sazili Shahibi (pegang bendera) merasmikan acara pelepasan kenderaan bagi program MEDCOMM: Semenanjung D’ Tour
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Media Komunikasi (MEDCOMM) Siswa buat julung kalinya mengadakan program jelajah ke kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Semenanjung Malaysia bagi mendapatkan idea dan pandangan mahasiswa.

 

Sebagai majlis perwakilan pelajar, MEDCOMM Siswa mengadakan program MEDCOMM: Semenanjung D’ Tour dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM untuk mengunjungi 12 kampus UiTM dari 20 Oktober hingga 29 Oktober.

 

Program berimpak tinggi tersebut memberikan ruang serta peluang kepada mahasiswa UiTM semenanjung Malaysia untuk menyuarakan idea serta pandangan terhadap kampus cawangan masing-masing di samping meningkatkan ketampakan UiTM cawangan di media arus perdana.

 

 

medcomm

 

 

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata program tersebut berfungsi sebagai platform dinamik untuk mempromosi dan meningkatkan keterlibatan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan MEDCOMM Siswa UiTM Shah Alam.

 

Beliau berkata mereka akan mengambil maklum pandangan pelajar, pensyarah, penyelidik, dan alumni di setiap cawangan yang dilawat dan selanjutnya menangkap cerita yang mencerminkan nilai bersama, aspirasi dan pencapaian luar biasa.

 

“Melalui podcast dan temu bual yang bakal dijalankan, ia akan menyebarkan kisah-kisah mereka, mewujudkan daya hidup, inovasi dan kebijaksanaan kolektif UiTM.

 

“Dengan ini,  matlamat untuk memberi inspirasi, mendidik dan menyemarakkan perbualan yang melangkaui sempadan geografi adalah dalam jangkauan, di mana ia mampu menghubungkan keluarga UiTM kita dengan lebih mendalam berbanding sebelum ini,” ujar beliau dalam ucapan di acara pelepasan kenderaan di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam hari ini.

 

 

Medcomm
Jadual program MEDCOMM: Semenanjung D’ Tour

 

 

Sementara itu, Presiden MEDCOMM Siswa, Rizwan Naim Rudy berkata penghebahan kedatangan MEDCOMM Siswa ke UiTM Cawangan juga telah disambut baik oleh pelajar, di mana  video poster acara di TikTok telah mendapat lebih 94,300 jumlah tontonan.

 

“Pelajar meluahkan rasa keterujaan untuk bertemu dengan ahli MEDCOMM dan menyampaikan hasrat supaya dapat ditemu ramah dan berkongsi kisah mereka.

 

“MEDCOMM amat peka dengan situasi semasa yang sedang berlaku dalam kalangan mahasiswa. Dengan berjalannya program Medcomm : Semenanjung D Tour ini, maka semakin besarlah rangkaian kisah yang dapat dikupas oleh kami daripada pelajar UiTM,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.  - DagangNews.com