KUALA LUMPUR 24 Feb - Media Prima Bhd. kini dilihat sebagai pemain industri yang cukup berbeza sebelum berlakunya perubahan dari segi kawalan pemegang saham, demikian menurut penganalisis.
Pemegang saham utamanya terdiri daripada tokoh perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memiliki 31.9% diikuti Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15.2%) dan Mitsubishi UFJ Financial Group, Inc (11.7%).
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, syarikat gergasi media ini kembali meraih keuntungan bersih berjumlah RM55.23 juta bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), berbanding kerugian bersih yang dialaminya pada tempoh kewangan 2020 sebanyak RM18.38 juta.
Untuk tempoh itu, pendapatan meningkat 8% kepada RM1.12 bilion daripada RM1.04 bilion terutamanya disumbangkan menerusi pertumbuhan hasil pengiklanan daripada jualan segmen Omnia.
Secara keseluruhan, hasil Omnia meningkat 79% berbanding FY2020, sejajar dengan peningkatan hasil pengiklanan kumpulan dalam tempoh berkenaan.
Penganalisis CGS-CIMB, Kamarul Anwar Kamaruddin berpendapat kisah pertumbuhan Media Prima akan kekal kerana pengiklan nampaknya menyukai penyelesaian jualan media yang digabungkan.
Katanya, kumpulan juga positif dengan pasaran pengiklanan akan berkembang semula apabila perintah kawalan pergerakan dilonggarkan sejak Oktober 2021
"Ia yakin enjin pertumbuhannya menerusi segmen televisyen akan berterusan sehingga FY2022 disertai pengiklanan out-of-home (OOH) dan radio.
"Pada masa sama, kami juga menyambut baik langkah kumpulan 'menggandakan' pelaburan kandungannya, memandangkan kami melihatnya sebagai nadi kepada kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Mengambil kira prospek yang positif ini, firma itu menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) antara 17 hingga 33% bagi FY2022 hingga FY2023 berdasarkan kepada pengurusn kos yang lebih baik.
Malah, harga sasaran (TP) juga disemak naik kepada 96 sen daripada 92 sen sebelum ini dengan penarafan saham dikekalkan dengan saranan 'tambah'.
Baca : Omnia pacu hasil Media Prima, kembali catat untung bersih RM55.23 juta bagi FY21
Sementara itu, MIDF Research optimis dengan keseluruhan prospek Media Prima berikutan perbelanjaan pengiklanan (adex) yang lebih kukuh pada suku-suku akan datang.
"Sekiranya 2022 menjadi tahun pilihan raya, ini akan menjadi pemangkin kepada operasi konvensional Media Prima seperti televisyen dan surat khabar.
"Ini kerana pilihan raya akan menjana lebih banyak pembelian iklan kepada media tradisional," katanya.
Firma itu menyemak semula unjuran pendapatan dan hasil bagi FY2022 dan FY2023 masing-masing sebanyak 0.3% dan 43.3% memandangkan prestasi kewangan FY2021 melebihi daripada jangkaannya.
Ia mengekalkan saranan 'beli' dengan TP lebih tinggi pada 72 sen berbanding 67 sen sebelum ini.
Setakat 11.04 pagi ini, harga saham Media Prima menokok 1.5 sen atau 2.91% kepada 53 sen dengan 2.28 juta saham diniagakan. - DagangNews.com