Mediha Mahmood dilantik Pengarah Eksekutif CMCF | DagangNews Skip to main content

Mediha Mahmood dilantik Pengarah Eksekutif CMCF

Mediha Mahmood

Mediha Mahmood

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) mengumumkan pelantikan Mediha Mahmood sebagai Pengarah Eksekutif, berkuat kuasa 1 Februari 2021.

 

Beliau dipertanggungjawab untuk menguruskan hala tuju strategik badan pengawalseliaan kendiri bebas tersebut, yang ditubuhkan dalam tahun 2001 menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM ‘98) dan beroperasi di bawah naungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 

 

Pengerusi CMCF, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, Mediha akan memantau serta menyelia semua operasi, fungsi dan aktiviti CMCF yang bertujuan untuk menyebarkan misi dan ‘suara’ organisasi tersebut.

 

"Ini merangkumi usaha dalam menyokong isu-isu yang berkaitan dengan kawalan kendiri industri, termasuk cetak rompak digital, pengemaskinian Kod Kandungan dan meneruskan kerjasama strategik bersama semua pemegang taruh di samping mempertingkatkan peranan CMCF sebagai titik tumpuan dan pusat sehenti bagi pentadbiran kandungan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebelum menerima jawatan di CMCF, Mediha merupakan Ketua Perundangan di AirAsia Digital yang mengendalikan portfolio perundangan bagi hal ehwal digital syarikat tersebut.

 

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

 

Kekal dalam karier bidang perundangan untuk beberapa tahun sebelum beralih ke dunia korporat, termasuk memegang peranan kawal selia dan perundangan di Astro selama 11 tahun.

 

Dalam tempoh tersebut, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ahli majlis di Forum Pengguna Komunikasi & Multimedia Malaysia (CFM) dan juga CMCF sebagai ketua Jawatankuasa Perundangan organisasi berkenaan. 

 

Ketika mengulas berkaitan kawalan kendiri, Mediha berkata, ramai di luar sana yang inginkan penapisan kandungan yang lebih ketat, dalam masa yang sama ramai juga yang tidak mahu sebarang penapisan ke atas kandungan.

 

Peranan pihaknya di CMCF adalah untuk mencari keseimbangan dalam kehendak masyarakat yang berbeza-beza dengan menjadi pemudah cara proses kawalan kendiri dalam kalangan pemain-pemain industri dan para pengguna.

 

“Peranan CMCF bukanlah untuk membantutkan kreativiti atau mengawal penggunaan kandungan.

 

"Kami ingin menggalakkan industri komunikasi dan multimedia untuk berkembang maju dengan selamat dan kami mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan pencipta-pencipta kandungan, pengguna dan sesiapa sahaja untuk mencapai matlamat ini.

 

"Dalam separuh pertama tahun 2021, CMCF akan menumpukan perhatian terhadap pengemaskinian Kod Kandungan bagi menangani permasalahan baru yang timbul di dalam industri serta isu-isu yang tidak ditangani dengan sepenuhnya dalam edisi-edisi sebelum ini," jelas beliau lagi. - DagangNews.com