KUALA LUMPUR 17 Mac - Langkah kerajaan untuk membuka ruang kepada syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB) sehingga 70% dilihat masih kabur terutama dari segi mekanisme pengagihan pegangan yang akan dilaksanakan.
Ini berikutan keputusan kerajaan yang mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara Rangkaian Borong Tunggal (SWN) seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.
Pengumuman itu menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti. Rundingan antara kedua-dua pihak akan dimuktamadkan pada akhir Jun 2022.
Bagaimanapun, penganalisis RHB Research, Jeffry Tan mempersoalkan mekanisme pembahagian ekuiti itu dalam kalangan MNO seperti Celcom Axiata, Digi.Com, Maxis Bhd. dan U-Mobile, yang membentuk konsortium baharu SWN.
Katanya, berdasarkan kenyataan media, pegangan saham MNO dan penilaian akan tertakluk kepada perbincangan antara DNB dan MNO, yang pada pandangannya berkemungkinan akan berpanjangan.
"Kami menyedari wujud perselisihan faham mengenai struktur pegangan saham adalah antara batu penghalang konsortium rangkaian 5G sebelum ini yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan setiap MNO mempunyai kepentingan sendiri.
"Antara pertimbangan utama lain, termasuklah pemilikan syarikat telekomunikasi dalam DNB mewujudkan situasi konflik kepentingan.
"Ini memandangkan prinsip asas rangkaian akses bebas memerlukan struktur pemisahan daripada aktiviti runcit, dan jika syarikat telekomunikasi memperoleh spektrum 5G secara langsung," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco
Baca : Model SWN bantu rapatkan jurang digital di negara ini - Annuar Musa
Dalam sidang akhbar yang diadakan bersama Kementerian Kewangan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa turut menjelaskan, keputusan kerajaan melaksanakan rangkaian 5G secara SWN dapat membantu merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.
Malah, tegas beliau, isu monopoli DNB dalam pelaksanaan rangkaian 5G di negara ini tidak lagi berbangkit kerana kerajaan membuka peluang kepada semua syarikat telekomunikasi untuk memiliki kepentingan ekuiti di dalamnya.
Mengulas lebih lanjut, Tan berpendapat, dengan mempunyai pemilikan langsung dalam DNB membolehkan MNO bekerjasama dengan lebih berkesan dan mempercepatkan penggunaan rangkaian 5G mereka, tetapi ini mungkin akan menjejaskan mandatnya untuk meliputi kawasan yang kurang berdaya maju atau luar bandar.
Katanya, tanpa dwi-rangkaian borong (DWN) seperti dicadangkan MNO kepada kerajaan sebelum ini, risiko yang berkaitan dengan pertindihan rangkaian dan kekangan spektrum dapat dihapuskan.
"Kami percaya kebimbangan mengenai kadar borong punitif yang dikenakan oleh DNB harus dikurangkan dengan MNO mempunyai suara yang lebih besar mengenai syarat sebenar dan firma itu sebahagiannya dibiayai oleh ekuiti.
"Oleh itu, semakan selanjutnya mengenai tawaran akses rujukan atau dokumen hasil tindakan tindak balas (RAO) adalah dijangka dengan DNB melanjutkan percubaan program perintis komersial 5G hingga akhir Jun berbanding akhir Mac 2022 sebelum ini," katanya.
Beliau juga berkata, dengan pemilikan langsung dalam DNB akan menyaksikan sedikit kelonggaran pada kadar borong yang akan dicaj kepada MNO.
Sementara itu, MIDF Research menyifatkan pemilihan model SWN adalah lebih berkesan dalam mempercepatkan pelancaran 5G selain mengelakkan berlakunya risiko kos pampasan, kelewatan yang berpanjangan dalam pelancaran rangkaian 5G, kesan negatif terhadap Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Malaysia.
Namun, katanya, masih belum ada kepastian sama ada syarikat telekomunikasi bersetuju dengan inisiatif baharu ini.
"Secara keseluruhan, MNO perlu terus menyediakan cadangan nilai perkhidmatan yang menarik untuk mengekalkan bahagian pasaran masing-masing memandangkan ketibaan model SWN untuk pelancaran 5G.
"Mungkin terdapat pencairan dalam margin keuntungan disebabkan oleh model ini, maka menawarkan strategi pengurusan kos yang berkesan adalah penting untuk mempertahankan margin keuntungan," jelasnya.
Dalam kenyataan bersama semalam, MNO terbabit (Celcom, Digi, Maxis dan U-Mobile) memaklumkan kesediaan untuk terbabit dalam sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan penggiat utama industri tersebut bagi mendapatkan perincian pelaksanaan model berkenaan, termasuk cadangan tawaran pegangan ekuiti serta proses transaksi berkaitan.
Pada Disember lalu, hanya YES (YTL Communications Sdn. Bhd.) dan Unifi Mobile (Telekom Malaysia Bhd) telah menerima tawaran awal DNB bagi perkhidmatan 5G, sebagai sebahagian daripada projek perintis di Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Putrajaya.
CGS-CIMB Research pula berkata, masih banyak butiran terperinci diperlukan mengenai hasil rundingan antara kerajaan dan MNO termasuk penilaian pegangan ekuiti dalam DNB.
"Keputusan kerajaan ini bagaimanapun positif kepada MNO. Dengan memiliki 70% pegangan, ia membolehkan syarikat telekomunikasi mengemudi pelancaran rangkaian 5G DNB dengan lebih baik.
"Malah, berupaya mengurangkan jumlah kos semasa sebanyak RM16.5 bilion (termasuk kos korporat RM4 bilion) dan meningkatkan bahagian pajakan daripada tapak milik MNO," katanya.
Dalam senario kes terburuk, firma itu berpandangan, kemungkinan penilaian yang agak mahal untuk kepentingan ekuiti dalam DNB mengakibatkan aliran keluar tunai yang besar untuk MNO, tiada perubahan kepada jumlah kos pelancaran rangkaian, mahupun bahagian tapak yang dipajak daripada MNO dan tiada perubahan pada kadar borong dan struktur yuran.
"Walaupun, akhirnya akan menyaksikan DNB lebih untung (hasil yang sama tetapi kos kewangan yang kurang dengan mengambil kira hutang lebih rendah), MNO tidak memiliki DNB sepenuhnya.
"Secara individu, MNO juga berkemungkinan tidak dapat menggambarkan bahagian mereka dalam pendapatan DNB (melainkan membayar dividen) untuk mengimbangi sebahagian kos borong," jelasnya.
Secara keseluruhan, RHB Research dan MIDF Research masing-masing mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi manakala CGS-CIMB dengan pandangan 'underweight'.
Ketiga-tiga firma itu juga meletakkan Telekom Malaysia sebagai pilihan utama bagi sektor berkenaan berikutaan kedudukannya sebagai pemain talian tetap utama negara dan mempunyai banyak peluang perniagaan di bawah inisiatif MyDigital. - DagangNews.com