Menanti pemulihan MyNews pada Q4, penganalisis kekalkan penarafan buat masa ini | DagangNews Skip to main content

Menanti pemulihan MyNews pada Q4, penganalisis kekalkan penarafan buat masa ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menjangkakan kadar kehadiran pelanggan dan jualan MyNews Holdings Berhad akan kembali pulih menjelang suku keempat tahun kewangan 2021 (4QFY21) ekoran sekatan pergerakan di kebanyakan negeri kembali dilonggarkan. 

 

Penganalisisnya, Syazwan Aiman Sobri meramalkan kadar kehadiran pelanggan yang kembali normal akan mendorong tawaran campuran produk yang lebih baik sekali gus menyokong pemulihan margin kasar MyNews. 

 

Seiring unjuran pemulihan itu, kumpulan juga dijangka memulakan semula pembukaan kedai CU secara agresif untuk mencapai sasaran 30 buah kedai menjelang hujung tahun ini. 

 

Bagaimanapun, ekoran prestasi kewangan yang lemah pada tempoh 3QFY21, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ saham MyNews dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM0.90 daripada RM0.91.

 

“Kami fikir, penilaian semasa ini secara adil mencerminkan prospek dan risiko pemulihan jangka pendek. Walaupun terdapat cabaran jangka pendek, namun penerimaan kukuh bagi kedai CU dan myNEWS SUPERVALUE akan memacu pertumbuhan jangka sederhana hingga panjang. 

 

“Kami menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) lebih rendah, kebanyakannya mengambil kira jualan yang lebih lemah pada 3QFY21,” jelas Syazwan Aiman dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

 

Hasil MyNews pada tempoh tersebut menyusut 14.7% berbanding tahun lalu, terutamanya disebabkan oleh kehadiran pelanggan yang lemah ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 5 Mac hingga 31 Mei 2021 diikuti pula oleh ‘lockdown’.

 

Senada CGS-CIMB, Kenanga Research turut menyemak turun TP MyNews kepada RM0.90 daripada RM0.95 dengan penarafan ‘market perform’ dikekalkan.

 

Kata penganalisisnya, ​​Ahmad Ramzani Ramli, MyNews mungkin menyemak turun sasaran pengembangan jumlah kedai memandangkan penguatkuasaan ‘lockdown’ yang masih dilaksanakan.

 

Susulan daripada prestasi kewangan bagi suku tahun semasa, Ahmad Ramzani berkata, Kenanga menyemak naik unjuran kerugian selepas cukai dan kepentingan minoriti (LATAMI) kumpulan pada FY21 kepada RM9 juta daripada RM2 juta sebelum ini. 

 

“Kami juga menyemak turun perolehan FY22 sebanyak 9% kepada RM16 juta, kedua-duanya mengambil kira jumlah kedai yang lebih rendah,” tambah beliau. - DagangNews.com