Mestron sasar raih kontrak bernilai RM20 juta menerusi segmen telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

Mestron sasar raih kontrak bernilai RM20 juta menerusi segmen telekomunikasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Jun – Mestron Holdings Bhd. menyasarkan untuk memperoleh kontrak bernilai RM20 juta dalam tempoh 6 bulan akan datang daripada segmen telekomunikasi.

 

Pengarah Urusan Mestron, Por Teong Eng berkata, permintaan kukuh ini akan disokong menerusi pelancaran rangkaian 5G di Malaysia.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan, nilai kontrak yang kukuh ini ini akan mengekalkan pertumbuhan hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam tempoh 5 bulan pertama tahun ini, Mestron telah memperoleh kontrak berjumlah RM17.5 juta di bawah pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela).

  

Nilai kontrak ini membabitkan pelbagai pelanggan, antaranya, Smartgen Technology Sdn. Bhd., Hytro Vista Sdn. Bhd. dan OCK Setia Engineering Sdn. Bhd. 

 

Teong Eng berkata, kontrak yang diperoleh di bawah fasa 1 Jendela itu dijangka selesai pada Ogos 2022.

 

Katanya, ia merupakan permulaan yang baik kepada prospek kumpulan memandangkan peningkatan kontrak dalam tempoh 5 bulan pertama tahun ini. 

 

"Peningkatan ini disokong pelancaran projek telekomunikasi yang pantas apabila ekonomi dibuka semula. Ini sejajar dengan kemajuan pesat dalam pelaksanaan pelan infrastruktur digital nasional, Jendela," katanya.

 

Kenyataan yang dikeluarkan Digital Nasional Bhd. (DNB) bagi suku pertama 2022 menunjukkan pelbagai agensi di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan membantu mempercepatkan pelancaran rangkaian 5G di negara ini.

 

Malah, Ketua Teknologi DNB, Ken Tan berkata, inisiatif tersebut membantu DNB kekal di landasan untuk mencapai sasaran liputan 5G sebanyak 37.9% menjelang akhir 2022.

 

Menurut Teong Eng, lonjakan pelancaran 5G akan memberi manfaat kepada Mestron, yang akan menyumbang kepada hasil terutamanya jualan daripada jualan tiang standard dan khusus dalam segmen telekomunikasi.

 

"Kumpulan akan terus memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat khususnya dalam segmen telekomunikasi di tengah-tengah pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara," tambahnya. - DagangNews.com