Meta Bright bakal pasang sistem solar PV 407.8kWp di Kijal Mall milik Majlis Perbandaran Kemaman selama 20 tahun | DagangNews Skip to main content

Meta Bright bakal pasang sistem solar PV 407.8kWp di Kijal Mall milik Majlis Perbandaran Kemaman selama 20 tahun

Kijal Mall yang dimiliki Majlis Perbandaran Kemaman kini giat dalam pembinaan. - Gambar Hiasan
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 3 Jan - Meta Bright Group Bhd mengumumkan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah menerima cadangan syarikat itu berhubung pemasangan dan pengoperasian sistem fotovolta solar (PV) 407.8kWp di Kijal Mall, Terengganu.

 

Menerusi persetujuan itu, Meta Bright akan mereka bentuk, membina, memasang, mentauliahkan, mengendalikan dan menyelenggara sistem solar PV di premis yang dimiliki oleh MPK itu.

 

MPK menentukan bangunan dan premis yang bakal dibekalkan tenaga boleh baharu yang mana Meta Bright akan mengenakan bayaran sebanyak RM0.36 setiap kilowatt penggunaan tenaga solar di bawah perjanjian bekalan tenaga boleh baharu (SARE).

 

Perjanjian ini untuk tempoh selama 20 tahun yang bermula selepas sistem beroperasi.

 

Pengarah Eksekutif Korporat dan Perancangan Strategik Meta Bright, Derek Phang Kiew Lim berkata, pihaknya memang berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di seluruh negara. 

 

"PBT adalah pihak yang sesuai untuk merangka dan melaksanakan penyelesaian tenaga boleh baharu berkualiti tinggi khusus untuk keadaan dan keperluan di kawasan pentadbiran mereka.

 

"Program berbentuk sifar perbelanjaan modal membolehkan PBT memberi tumpuan memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat sambil mendapat manfaat daripada penjimatan kos tenaga boleh baharu tanpa kesan kepada perbelanjaan tahunan mereka," katanya.

 

Mengambil contoh persetujuan yang diberikan MPK, Derek berkata, inisiatif di Kijal Mall itu membolehkan Meta Bright membantu PBT mencapai matlamat pembangunan mampan dan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Saya berterima kasih kepada MPK kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada Meta Bright. Cadangan kami ini sesuatu yang inovatif, cekap dari segi kos selain dibuat berdasarkan kepakaran teknikal dan rekod prestasi kami," ujarnya.- DagangNews.com