MIDF kekal saranan 'Beli' saham Axiata, naikkan harga sasaran saham RM5.39 sen | DagangNews Skip to main content

MIDF kekal saranan 'Beli' saham Axiata, naikkan harga sasaran saham RM5.39 sen

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29Nov - MIDF Research mengekalkan saranan 'Beli' ke atas Axiata Group Bhd dengan harga sasaran disemak semula sebanyak RM5.39 sesaham berbanding RM4.62 sebelum ini.

 

Menurut firma penganalisis itu, dalam persekitaran perniagaan yang buruk yang disebabkan oleh pandemik, kumpulan itu masih mencatatkan prestasi keseluruhan yang kukuh dengan pertumbuhan teguh di kebanyakan Opcos. 

 

"Kumpulan telah mencapai kecemerlangan kos dengan penjimatan perbelanjaan operasi sebanyak RM378 juta dan perbelanjaan modal RM815 juta, berjumlah RM1.1 bilion.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan masa hadapan akan stabil, disokong oleh pengembangan hasil dan  pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang sepadan," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.

 

Tambah MIDF Research, memandangkan pendapatan Axiata melebihi jangkaannya, pihaknya turut menyemak semula hasil dan ramalan pendapatan Kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2021 hingga 2023 dengan masing-masing meningkat antara 1% hingga +21.8% berikutan prospek pendapatan merentas Opcosnya kekal teguh. 

 

"Kami juga telah mengambil pelaksanaan Cukai Makmur bagi jangkaan pendapatan bagi tahun kewangan 2022," katanya.

 

Axiata menyaksikan keuntungan bersihnya bagi suku ketiga berakhir 30 September 2021 (3QFY21) meningkat 25.85% suku ke suku (qoq) kepada RM349.56 juta berbanding RM277.76 juta pada suku sebelumnya disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi.

 

Hasil bagi tempoh itu juga meningkat 2.39% kepada RM6.54 bilion berbanding RM6.39 bilion hasil sumbangan daripada PT XL Axiata Tbk, Dialog Axiata PLC, Robi Axiata Ltd dan Axiata Digital Services Sdn Bhd.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi suku di bawah semakan turut meningkat 1.7% kepada RM2.86 bilion, daripada RM2.81 bilion pada 2QFY21, dengan pengurusan kredit dan inventori yang lebih baik serta usaha pengoptimuman kos, diimbangi sebahagiannya oleh kos operasi yang lebih tinggi.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2021, keuntungan bersih kumpulan meningkat 13.16% kepada RM702.87 juta daripada RM621.11 juta. -DagangNews.com