MIDF Research: Bajet 2022 satu pendekatan holistik pulihkan negara | DagangNews Skip to main content

MIDF Research: Bajet 2022 satu pendekatan holistik pulihkan negara


KUALA LUMPUR 30 Okt – MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.6% bagi 2021 dan percaya ekonomi akan meneruskan trend pemulihan pada 2022 berikutan pembukaan semula ekonomi serta menyifatkan Bajet 2022 sebagai pendekatan holistik dalam memulihkan sosio-ekonomi Malaysia.

 

Dalam pembentangan Bajet 2022 di Parlimen semalam, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan lebih baik untuk ekonomi Malaysia tahun depan. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diramalkan berkembang 5.5% kepada 6.5% pada 2022, berbanding 3.0% kepada 4.0% yang dijangkakan untuk tahun ini.

 

Fokus strategik bajet ini adalah memacu pemulihan ekonomi terutamanya dalam sektor yang terjejas teruk seperti pelancongan, membina semula daya tahan negara agar lebih bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa depan dan melalui transformasi digital, dan memangkin pembaharuan untuk meningkatkan kecekapan sektor awam dan memberi penekanan terhadap elemen ESG dalam kerajaan.

 

Ketua Penyelidikan, MIDF, Imran Yassin Md Yusof berkata, bajet ini memberi sokongan kepada rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan pada masa sama memangkin ekonomi untuk memastikan pertumbuhan kembali kukuh dan mampan.

 

''Langkah-langkah seperti “Bantuan Keluarga Malaysia” dengan peruntukan RM8.2 bilion, pelbagai inisiatif untuk meningkatkan bidang pendidikan, latihan dan peningkatan kemahiran serta mengiktiraf peranan wanita dalam masyarakat melalui pelbagai langkah pembangunan wanita menyerlahkan perkara ini.

 

''Sokongan dan kaedah untuk merancakkan aktiviti perniagaan terutamanya bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga diberi penekanan,'' kata beliau sebagai mengulas butiran Bajet 2022 di sini.

 

Menurut beliau, akses pada pembiayaan dengan pelbagai pinjaman dan pembiayaan dan skim jaminan kredit telah diwujudkan sebagai salah satu inisiatif untuk memastikan perniagaan terutamanya PMKS mampu pulih dan berkembang selepas mengharungi tempoh sukar tahun ini.

 

''MIDF bersama pelbagai institusi kewangan pembangunan lain komited menyokong pemulihan PMKS. Dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan baharu, seiring dengan sokongan gaji yang disediakan oleh kerajaan, aktiviti ini akan menyumbang ke arah memastikan kadar pengangguran yang lebih rendah tahun depan.

 

``Kami percaya sektor pekerjaan akan kembali pada landasan pertumbuhan,'' kata Imran.

 

Bajet ini turut menyediakan bantuan berterusan kepada rakyat melalui peruntukan tambahan sebanyak RM23 bilion ke dalam dana COVID-19.

 

 

imran yassin
Imran Yassin Md Yusof

 

 

Sebahagian besar peruntukan disalurkan dalam bentuk bantuan tunai, bantuan sosial, sokongan kepada kumpulan yang lemah dan program subsidi gaji yang akan diteruskan sejak tahun lepas.

 

Perkara ini diharapkan dapat menjamin kesejahteraan rakyat. Dijangkakan 2022 akan menjadi tahun terakhir untuk dana COVID-19.

 

``MIDF Research tidak berasa hairan dengan pengembangan bajet terutamanya Perbelanjaan Pembangunan (DE) kasar yang lebih besar sebanyak RM75.6 bilion yang mana majoriti akan membiayai projek yang sedang dijalankan manakala projek baharu berjumlah RM8.7 bilion,'' ujar Imran.

 

Projek dan program berimpak tinggi akan terus diberi tumpuan terutamanya dalam sektor pengangkutan, perdagangan dan industri, tenaga dan kemudahan awam.

 

MIDF Research optimis dengan kepercayaan yang diberi untuk mengukuhkan keupayaan keusahawanan termasuk PMKS, subsektor pertanian, pendidikan dan latihan dan sistem penjagaan kesihatan.

 

Perkara ini selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 dan komited memberikan dorongan yang diperlukan untuk pemulihan ekonomi.

 

 

charon
Dato’ Charon Mokhzani

 

 

Mengulas mengenai Bajet 2022, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Dato’ Charon Mokhzani berkata, bajet ini akan membantu negara pulih daripada kesan pandemik dan meletakkan Malaysia pada landasan betul ke arah pertumbuhan jangka panjang.

 

''Kami mengalu-alukan bantuan tunai kepada mereka yang memerlukan serta memberi tumpuan pada pendidikan dan kanak-kanak.

 

''Kerajaan perlu mengekalkan keseimbangan antara pelaburan untuk masa depan seperti memperkasakan TVET dan teknologi dan pada masa sama memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas teruk akibat pademik ini,” katanya. - DagangNews.com