MIDF Research jangka pendapatan Ta Ann Holdings meningkat pada FY2022, FY2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka pendapatan Ta Ann Holdings meningkat pada FY2022, FY2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Mac - MIDF Research menjangkakan pendapatan Ta Ann Holdings Berhad meningkat sebanyak 31.9% kepada RM177.2 juta untuk FY2022 selepas mengambil kira prestasi kewangan cemerlang dalam segmen perladangan.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu turut menunjurkan peningkatan sebanyak 17.5% kepada RM153.6 juta bagi FY2023 juga didorong oleh faktor yang sama.

 

Katanya, segmen pembalakan juga menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4% kepada RM317.6 juta pada FY2021 berbanding RM307.1 juta pada FY2020.

 

"Selaras keuntungan sebelum cukai kumpulan, segmen itu merekodkan keuntungan sebanyak RM30.9 juta pada FY2021 berbanding kerugian sebanyak RM72.4 juta pada FY2020 didorong oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi.

 

"Kami menjangkakan sektor perhutanan untuk menyumbangkan pengeluaran lebih tinggi pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Keuntungan sebelum cukai untuk segmen minyak sawit berkembang melebihi 100% kesan daripada peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 64% selain diperkuatkan dengan harga purata jualan tandan sawit segar (FFB) sebanyak 71%.

 

"Kami melihat segmen ini akan terus menjanjikan ulangan yang baik kepada kumpulan berdasarkan kepada harga MSM yang tinggi," katanya.

 

Firma penyelidikan itu kekal optimis dengan pendapatan kumpulan itu dan mengekalkan saranan 'beli' pada haga sasaran yang disemak semula kepada RM5.90 berbanding RM4.48.

 

Saranan itu dibuat selepas mengambil kira prospek segmen perladangan dan sentimen positif terhadap MSM yang kini mencecah RM7,000 bagi satu tan metrik. - DagangNews.com