MIDF Research jangka Tasco terima manfaat daripada krisis geopolitik Laut Merah | DagangNews Skip to main content

MIDF Research jangka Tasco terima manfaat daripada krisis geopolitik Laut Merah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Peningkatan kadar pengangkutan laut kesan daripada krisis geopolitik di Laut Merah dijangka memberi manfaat kepada syarikat logistik seperti Tasco Berhad.

 

Krisis yang melanda Laut Merah adalah berpunca daripada serangan pemberontak Houthi dari Yaman ke atas kapal dagang berlayar di Terusan Suez menerusi laut itu dan menyebabkan kos pengangkutan bertambah sekali gus mengancam kenaikan harga barangan global.

 

Serangan militan Houthi, yang didakwa dilakukan sebagai menyokong perjuangan rakyat Palestin, disifatkan sebagai gangguan terbesar kepada industri perdagangan laut sejak dunia teruk dilanda pandemik COVID-19.

 

Pemberontak Houthi mendakwa hanya menyasarkan kapal berkaitan dengan Israel tetapi pada hakikatnya semua kapal menjadi sasaran dan tindakan mereka lebih disifatkan sebagai kegiatan lanun.

 

Bagaimanapun, impak serta-merta tidak akan dirasai kerana jumlah penghantaraan tidak meningkat dengan ketara.

 

"Namun begitu, kami mengekalkan jangkaan peningkatan dalam jumlah pengendalian, menjangkakan pemulihan beransur-ansur aktiviti perdagangan sepanjang tahun.

 

"Kami juga menjangkakan peningkatan prestasi dalam bahagian logistik kontrak dari 4QFY24 dan seterusnya, didorong oleh sumbangan sulung daripada dua gudang baharu (Pusat Logistik West Port dan Pusat Logistik Shah Alam), yang dijangka menghasilkan kadar yang lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada 3QFY24 susut 32.7% kepada RM13.82 juta berbanding RM20.44 juta pada tahun sebelumnya berikutan normalisasi kadar tambang serta prestasi yang lebih lemah daripada segmen rumusan perniagaan domestiknya.

 

Kadar pengangkutan laut, serta prestasi bahagian perniagaan domestik yang lebih lemah apabila hasil turun 29.35% kepada RM277.45 juta daripada RM392.69 juta pada 3QFY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) menyusut 40.4% didorong oleh penurunan dalam kadar tambang pasaran dan pengurangan penghantaran, terutamanya memberi kesan kepada bahagian penghantaran laut.

 

Katanya, penurunan jumlah penghantaran barang berkemungkinan menjadi faktor utama di sebalik penguncupan hasil dalam logistik kontrak, terutamanya dengan perniagaan pelepasan kastam mencatatkan penurunan 46.9%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM1.30 sesaham," katanya. - DagangNews.com