MIDF Research kekal unjuran KDNK pada paras 4.2% bagi tahun penuh 2023 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research kekal unjuran KDNK pada paras 4.2% bagi tahun penuh 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada paras 4.2% bagi tahun penuh 2023.

 

Selepas menilai kelemahan permintaan luar, firma itu mengekalkan unjuran bawa daya tahan permintaan domestik terutamanya perbelanjaan pengguna disokong pasaran pekerjaan yang positif akan menjadi pemacu utama perteumbuhan ekonomi negara tahun ini.

 

Katanya, perniagaan tempatan akan mengembangkan pengeluaran dan sektor perkhidmatan akan mendapat keuntungan daripada peningkatan ketibaan pelancong, industri perkilangan, sebaliknya, akan terjejas oleh kelemahan dalam pembuatan global dan oleh itu prospek lemah untuk subsektor berorientasikan eksport.

 

"Faktor yang boleh menjejaskan prospek perdagangan luar akan menambah lebih banyak tekanan kepada aktiviti pembuatan sekiranya ia menjadi kenyataan.

 

"Ia termasuk kemerosotan dalam ketegangan geopolitik dan perdagangan, inflasi global yang berterusan tinggi dan peningkatan dalam kos pinjaman apabila bank pusat menaikkan lagi kadar faedah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pasaran buruh terus mengukuh tahun lepas dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.9% dan guna tenaga yang lebih tinggi, menurut Statistik Tahunan Tenaga Buruh Malaysia 2022, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Persekitaran ekonomi yang positif sepanjang tahun itu membawa kepada situasi tenaga buruh yang menggalakkan susulan lebih banyak peluang pekerjaan dari pelbagai industri telah diwujudkan.

 

Firma itu berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) terus mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada kadar 3%, dalam Mesyuarat Dasar Monetari keempatnya pada 2023.

 

Dalam Penyata Dasar Monetari, BNM menekankan bahawa ekonomi global kekal teguh disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dalam keadaan pasaran buruh yang kukuh.

 

"Walaupun pembukaan semula China dilihat menyokong pertumbuhan global, namun momentum makro dalam ekonomi kedua terbesar itu masih di bawah jangkaan," katanya. - DagangNews.com