MIDF Research naikkan penarafan saham TNB kepada 'beli' | DagangNews Skip to main content

MIDF Research naikkan penarafan saham TNB kepada 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Feb - MIDF Research menyemak naik penarafan saham Tenaga Nasional Bhd. (TNB) kepada 'beli' berbanding 'neutral' sebelum ini pada harga sasaran RM9.55. 

 

Ini berdasarkan kepada anjakan harga sahamnya, TNB kini menawarkan jumlah pulangan sebanyak 10.5%. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, pendapatan TNB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) meningkat 19.7% kepada RM52.63 bilion berbanding RM43.98 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Kenaikan itu terutamanya disebabkan jumlah jualan elektrik yang lebih tinggi sebanyak RM8.35 bilion, meningkat 19.3% daripada RM43.2 bilion bagi tempoh sama 2020.

 

Pendapatan bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 meningkat 52.4% kepada kepada RM15.73 bilion berbanding RM10.32 bilion bagi tempoh sama 2020 manakala keuntungan selepas cukai susut 17.4% kepada RM992.5 juta daripada RM1.2 bilion.

 

Baca : TNB catat pendapatan berjumlah RM52.63 bilion bagi FY2021

 

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, dengan pendapatan teras suku keempat berjumlah RM866 juta, menjadikan pendapatan teras bagi FY2021 sebanyak RM4.5 bilion adalah memenuhi jangkaan firma berkenaan.

 

Katanya, TNB kini menggabungkan penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai sebahagian daripada KPI pengurusan tertinggi. 

 

"Bagi Ketua Pegawai Eksekutifnya, ini membentuk 30% daripada KPI merangkumi penarafan ESG, kesihatan dan keselamatan, indeks kesihatan integriti dan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya. 

 

Menurut beliau, dari segi pengawalseliaan, TNB mendedahkan bahawa kos purata wajaran modal (WACC)  terkawal bagi tempoh Regulatori Ketiga (RP3) dikekalkan pada 7.3% dan perbelanjaan modal (capex) yang diluluskan berjumlah RM20.6 bilion, tetapi asas aset terkawal masih tidak didedahkan.

 

"Di sebalik anggaran bahan api yang lebih tinggi di bawah RP3, tarif asas RP3 juga dianggar lebih tinggi pada 39.95 sen/kwh (daripada 39.45 sen/kwh). 

 

"Ini seolah-olah mengimbangi kos bahan api yang lebih tinggi dan membayangkan perubahan sama ada dalam campuran pelanggan atau andaian segmen tarif purata," jelasnya. - DagangNews.com