MIDF Research unjur eksport, import susut sebanyak 6.4% dan 6.9% tahun ini | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur eksport, import susut sebanyak 6.4% dan 6.9% tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - MIDF Research mengekalkan unjuran eksport dan import negara menyusut sebanyak 6.4% dan 6.9%, tahun ini.

 

Katanya, walaupun eksport barangan mencatatkan penurunan mendadak sebanyak 7.8% dari tahun ke tahun bagi tiga suku pertama tahun ini, unjuran berkenaan mengambil kira jangkaan pemulihan dalam perdagangan elektrik dan elektronik (E&E) yang akan mengakibatkan penurunan eksport yang lebih perlahan pada bulan-bulan akan datang.

 

"Perubahan harga akan mempunyai kesan yang lebih kecil pada masa hadapan, kami menganggap pemulihan berterusan di China akan menjadi faktor utama yang akan menyokong prospek perdagangan serantau.

 

"Kami menjangkakan momentum pemulihan akan berterusan dan sokongan untuk kedua-dua eksport dan import akan meningkat pada tahun hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Jumlah perdagangan Malaysia susut 12.6% kepada RM224.4 bilion pada September 2023 - DOSM

 

Terdahulu, jumlah perdagangan berkurang 12.6% kepada RM224.4 bilion, eksport menyusut 13.7% kepada RM124.5 bilion dan import menurun 11.1% kepada RM100 bilion, tahun ke tahun.

 

Lebihan dagangan turut merosot 23% kepada RM24.5 bilion pada September 2023.

 

Prestasi eksport Malaysia mencatatkan penguncupan pada September 2023 selaras dengan penurunan yang ditunjukkan oleh kedua-dua eksport semula dan eksport domestik. Eksport semula berjumlah RM27.8 bilion, menyusut 17.9% berbanding September 2022. 

 

Namun begitu, terdapat beberapa risiko yang boleh menjejaskan prospek perdagangan jangka pendek seperti peningkatan ketegangan geopolitik baru-baru ini selain aliran menaik dalam harga komoditi. 

 

Cabaran lain termasuk kelembapan mendadak dalam permintaan akhir dan kebimbangan baharu terhadap prospek pertumbuhan di China. - DagangNews.com