MIDF Research unjur kadar inflasi meningkat kepada 3.2% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

MIDF Research unjur kadar inflasi meningkat kepada 3.2% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Dis - MIDF Research mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan negara meningkat kepada 3.2% pada 2024 kesan daripada subsidi bahan api bersasar yang dijangka dilaksanakan seawal Mei tahun hadapan.

 

Katanya, kerajaan dijangka memperkenalkan mekanisme harga apungan terurus bagi RON95 antara RM2.25 hingga RM2.35 seliter selain menyediakan pemberian wang tunai kepada gologan yang layak berdasarkan pangkalan data PADU.

 

"Inflasi bukan makanan dijangka meningkat sebanyak 2.5% manakala bekalan domestik yang lebih baik dan harga komoditi global yang normal akan mendorong kadar inflasi makanan lebih rendah pada 4.5% pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu juga mengunjurkan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) kekal pada paras 3% kerana fokus utama Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bagi memastikan momentum pertumbuhan yang mampan dalam ekonomi Malaysia.

 

Katanya, persekitaran luaran kekal mencabar pada 2024 kesan ketegangan geopolitik, paras harga yang tinggi dan kelembapan ekonomi global.

 

Prospek ekonomi domestik diramal kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik yang stabil.

 

"Bagaimanapun, kami percaya penstabilan kadar inflasi teras dan persekitaran luaran yang mencabar mungkin mempengaruhi BNM untuk mengekalkan OPR pada paras semasa sepanjang 2024.

 

"Keputusan itu akan tertakluk kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga, dan peningkatan selanjutnya dalam keadaan makroekonomi, terutamanya pemulihan berterusan dalam pasaran buruh dan permintaan domestik yang semakin meningkat," katanya.

 

MIDF Research berkata, perspektif jangka sederhana, normalisasi kadar dasar diperlukan bagi mengelakkan risiko yang boleh menjejaskan kestabilan prospek ekonomi masa depan seperti inflasi yang berterusan tinggi dan peningkatan lagi dalam keberhutangan isi rumah.- DagangNews.com