Minetech dapat kontrak pembinaan jalan raya di Selangor bernilai RM11.3 juta | DagangNews Skip to main content

Minetech dapat kontrak pembinaan jalan raya di Selangor bernilai RM11.3 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Minetech Resources Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Minetech Construction Sdn Bhd (MCSB) berjaya meraih sebuah kontrak bernilai sekitar RM11.3 juta bagi projek reka bentuk dan pembinaan jalan raya tinggi di Selangor.

 

Ini selepas MCSB menerima Surat Tawaran (LOA) daripada Wangsa Keringat Development Sdn Bhd (Wangsa) berhubung projek berkenaan, semalam.

 

Menurut Minetech, kerja-kerja jalan raya itu merupakan sebahagian daripada projek pembangunan kondominium yang diperoleh Wangsa, yang secara dasarnya terlibat dalam pembinaan sivil, pembangunan hartanah dan pengurusan projek bagi sektor swasta, dengan portfolio melebihi RM500 juta nilai kontrak.

 

Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin memberitahu bahawa Minetech menantikan hubungan kerjasama yang membuahkan hasil dengan Wangsa susulan penerimaan LOA oleh MCSB. 

 

“Projek ini tidak dinafikan bakal membantu segmen pembinaan Minetech untuk berkembang. 

 

Matt Chin
Matt Chin

 

“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran kami untuk meraih projek-projek yang bakal memperkukuh portfolio kerja di dalam segmen pembinaan syarikat. 

 

“Kami percaya bahawa industri pembinaan domestik akan stabil pada 2021 dan kami mahu memanfaatkan segala peluang untuk mencipta potensi syarikat di dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sejak penubuhannya pada 1977, Minetech terlibat dalam perkhidmatan penggerudian dan peletupan sebelum berkembang menjadi salah satu perniagaan perlombongan agregat terbesar di Malaysia. 

 

Selain daripada perniagaan perlombongan, Minetech juga pakar dalam sektor pembuatan, kerja-kerja kejuruteraan sivil, projek jalan raya dan pembinaan.

 

Minetech kini berjaya untuk kembali mencatatkan keuntungan setelah menanggung kerugian sejak tahun 2015 sekali gus menyasarkan untuk meningkatkan margin operasinya. - DagangNews.com