Minggu Saham Amanah Malaysia PNB beralih digital | DagangNews Skip to main content

Minggu Saham Amanah Malaysia PNB beralih digital

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Selaras dengan perkembangan transformasi digital, Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan menganjurkan Minggu Saham Digital (MSD) buat pertama kali dari 18 hingga 24 November 2020 melalui Facebook dan YouTube.

Acara digital tujuh hari itu akan disiarkan secara langsung setiap hari antara pukul 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam.

MSD merupakan adaptasi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM).

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz berkata, PNB telah berjaya meletakkan MSAM sebagai acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan dengan pelbagai aktiviti pendidikan selama dua dekad.

 

Tan Sri Dr. Zeti Aziz
 Zeti Aziz

 

"MSD adalah bukti bagaimana PNB terus berkembang serta mendukung cara baharu dan menarik untuk mendekati pemegang unit kami dan rakyat Malaysia secara umumnya, dengan matlamat untuk memperkasakan literasi kewangan melalui platform digital yang mudah untuk dilayari.

“Acara digital itu merupakan satu langkah penting ke arah perjalanan transformasi organisasi PNB yang lebih luas.

"Dengan menganjurkan acara tahunan kami secara dalam talian, semua lapisan masyarakat Malaysia daripada pelbagai peringkat umur boleh menikmati pelbagai kandungan aktiviti menarik dari keselesaan kediaman mereka sendiri atau di mana sahaja mereka berada, kerana semuanya kini mudah diakses hanya di hujung jari,” katanya dalam satu keyataan hari ini.

Setiap tahun selama dua dekad, PNB telah menyediakan platform secara bersemuka untuk masyarakat Malaysia mengenali PNB dan syarikat pelaburannya.

MSD juga memberi peluang kepada pemegang unit PNB mendapat gambaran bagaimana pelaburan mereka menyumbang kepada kekuatan ekonomi Malaysia.

Sepanjang tujuh hari itu, rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dapat menyaksikan pelbagai aktiviti, daripada siri forum dan webinar pendidikan, kepada segmen-segmen yang menghiburkan seperti konsert maya.

Menerusinya, peserta juga boleh menyertai acara permainan, rancangan memasak, eksperimen sains yang unik, pertandingan pencarian harta karun maya, ‘Eh, Mana Kod?’ serta pertandingan lakaran pelitup muka, #LakaranJuara.

Peserta berpeluang memenangi hadiah-hadiah bernilai lebih RM500,000 termasuk sebuah Ford Ranger 2.0L XLT 4WD (10AT), sebuah Toyota Vios 1.5G (AT), sebuah Perodua Aruz 1.5AV (AT), sebuah Honda CBR250, 8 buah Honda Dash 125S dan e-baucar Lazada bernilai lebih RM180,000. Peraturan, terma dan syarat-syarat penyertaan boleh didapati di laman mikro MSD.

Untuk maklumat lanjut, layari www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.   –   DagangNews.com