Minyak motosikal eksklusif selain 5 insentif untuk ‘rider’ foodpanda | DagangNews Skip to main content

Minyak motosikal eksklusif selain 5 insentif untuk ‘rider’ foodpanda

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 25 Mac - foodpanda Malaysia mendedahkan beberapa siri keistimewaan baharu yang akan diberikan kepada ‘rider’ di bawah naungannya bagi suku pertama 2021, di mana menawarkan diskaun, penjimatan dan kemudahan hebat buat mereka. 

 

Keistimewaan utama yang diberikan kepada ‘rider’ adalah minyak motosikal eksklusif foodpanda jenis separa sintetik, 10W-40 4T .

 

Minyak motosikal itu dihasilkan oleh Hyrax Oil Sdn Bhd yang tersedia secara eksklusif buat ‘rider’ selain menawarkan minyak berkualiti tinggi pada harga berpatutan, menurut foodpanda. 

 

Ketua Logistisk foodpanda Malaysia, Shubham Saran berkata, inisiatif baharu, ditambah dengan beberapa insentif yang diperkenalkan setakat ini pada tahun 2021 merupakan lambang terima kasih mereka kepada ‘rider’. 

 

“Mereka bekerja tanpa lelah, mengharungi trafik dan cuaca buruk untuk menghantar pesanan kepada pelanggan, supaya mereka kekal di rumah dan selamat. 

 

“Lebih banyak faedah yang akan ditawarkan kepada rakan penghantaran kami, di mana menawarkan diskaun, penjimatan dan kemudahan yang lebih hebat sepanjang tahun ini,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Minyak motosikal itu tersedia pada harga RM35 seliter dengan promosi khas ditawarkan pada harga potongan RM5 buat ‘rider. 

 

Dalam masa sama, mereka juga dapat menikmati diskaun RM10 sekiranya membeli dua botol minyak motosikal berkenaan.

 

Jelas foodpanda, ‘rider’ yang membuat pembelian mereka secara dalam talian di Rider Shop Malaysia boleh mendapatkannya di hab ‘rider’ foodpanda terletak di Southgate Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, Sabah.

 

Insentif lain yang turut diberikan seperti berikut:

 

1. FWD Kasih – perlindungan berpatutan

 

foodpanda telah bekerjasama dengan FWD Takaful untuk menawarkan pelan FWD Kasih di mana terdiri daripada empat pilihan dan tawaran serendah RM2.03 sebulan dengan pembayaran insurans sekurang-kurangnya RM20,000 sekiranya 'rider' terlibat dalam insiden kematian akibat kemalangan.


 

2. Digi – keterhubungan berpatutan

 

foodpanda menawarkan pelan pasca bayar serendah RM20 kepada ‘rider’ dan mereka juga akan menerima telefon pintar percuma dengan mendaftar bagi pelan GoDigi98.

 

3. Shell – ganjaran isi minyak

 

foodpanda memberi ganjaran kepada ‘rider’ dengan Panda Bonus, melalui kerjasama dengan Shell.

 

Menerusi inisiatif berkenaan, ‘rider’ akan menerima lebih daripada lima mata BonusLink untuk pengguna standard, bagi seliter petrol yang diisi di mana-mana stesen minyak Shell, seluruh negara.

 

4. Pod – simpanan mudah

 

Menerusi kerjasama dengan aplikasi penjimatan, Pod, ‘rider’ akan menerima ganjaran RM5 yang dikreditkan untuk matlamat simpanan mereka, bagi pendaftaran pertama.

 

5. Beam – perjalanan mudah

 

Bagi rakan penghantaran foodpanda yang berjalan kaki, platform itu bekerjasama dengan Beam yang menawarkan tujuh hari percubaan secara percuma dan diskaun sepanjang tahun untuk memudahkan pergerakan mereka. - DagangNews.com