Minyak sawit mentah pacu momentum pertumbuhan Genting Plantations | DagangNews Skip to main content

Minyak sawit mentah pacu momentum pertumbuhan Genting Plantations

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) yang melebihi paras RM3,000 setiap tan metrik mampu memberikan sokongan berterusan kepada pertumbuhan perolehan oleh Genting Plantations Berhad (GenP). 

 

Ramalan itu turut mengambil kira jangkaan pemulihan kadar hasil tandan buah sawit segar (FFB) oleh MIDF Research sepanjang tahun kewangan semasa. 

 

“Dalam pada itu, kami juga menjangkakan segmen hartanahnya akan terus mencatatkan prestasi lebih baik berdasarkan jangkaan aktiviti ekonomi yang disambung semula ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan Malaysia memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNtech semalam. 

 

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan kesemua faktor-faktor ini akan menyokong momentum perolehan yang sihat oleh kumpulan syarikat pada suku-suku tahun akan datang. 

 

“Bagaimanapun, kami masih bimbang terhadap segmen hiliran GenP memandangkan penyebaran minyak gas kelapa sawit (POGO) yang tidak baik dapat mengurangkan permintaan dalam tempoh masa sederhana,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

 

Setelah mengambil kira kesemua faktor itu, MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham GenP dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM12.40. 

 

Namun, MIDF tidak mengubah unjuran perolehan GenP buat masa ini kerana hasil tahun kewangan 2020 (FY20) seiring dengan ramalan firma penyelidikan itu. 

 

GenP mencatatkan perolehan suku keempat FY20 (4Q20) bernilai RM79.0 juta, menokok 26.1% daripada tempoh sama pada tahun lalu.

 

Ini mendorong kepada perolehan terkumpul bagi FY20 mencecah RM235.8 juta yang menyaksikan lonjakan sebanyak 68.2% berbanding FY19, terutamanya didorong oleh harga MSM lebih tinggi. 

 

Sementara itu, CSG-CIMB Research sebaliknya meningkatkan unjuran keuntungan bersih GenP sebanyak 42% pada FY21 dan 4% menjelang FY22 setelah mengambil kira ramalan harga MSM sekitar RM2,900 dan RM2,700 setiap tan masing-masing pada FY21 dan FY22. 

 

“Kami mengekalkan saranan ‘tambah’ berdasarkan profil usia estetnya yang menarik. Pemangkin utama adalah harga MSM dan pengeluaran yang lebih tinggi. 

 

“Risiko utama adalah harga MSM dan kadar hasil FFB yang lebih rendah,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajian berbeza. 

 

Bagi tahun ini, GenP mengekalkan sasaran lonjakan 5% hingga 8% output FFB didorong oleh kadar hasil yang lebih baik, sekali gus mendedahkan perbelanjaan modal sebanyak RM450 juta. 

 

Bagi segmen hartanah pula, kumpulan syarikat itu menyasarkan lebih banyak pelancaran projek baharu, bagaimanapun, GenP mendedahkan bahawa perolehan hilirannya mungkin lebih lemah kerana kos bahan mentah yang tidak berdaya saing berbanding pemain Indonesia.

 

Setakat 10.58 pagi, nilai saham GenP menokok 9 sen kepada RM9.39 daripada paras yang ditutup semalam, RM9.30. - DagangNews.com