KUALA LUMPUR 29 Feb - Peluasan strategik Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) ke Johor mencerminkan pendekatan progresif bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke negeri tersebut, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
MITI berkata, inisiatif itu diluluskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menandakan penubuhan IMFC pertama di luar Kuala Lumpur, yang menekankan kesungguhan Malaysia dalam memudahkan perjalanan pelabur di peringkat nasional.
Katanya, peluasan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang bertujuan untuk memupuk hubungan perniagaan lebih kukuh antara Malaysia dan Singapura.
"Penyepaduan IMFC ke dalam agenda ini menyerlahkan peranannya dalam memupuk persekitaran mesra perniagaan, yang penting untuk pertumbuhan bersama.
"JS-SEZ dijangka menjadi pemacu utama pembangunan wilayah dan negara, membuktikan impak positif zon ekonomi rentas sempadan terhadap kemakmuran," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu mewujudkan keselarasan prosedur pelaburan dan memudahkan pelaburan masuk ke Malaysia.
Beliau berkata, ditambah dengan lokasi strategik dan sumber semula jadi Johor, IMFC Johor bakal meningkatkan lagi daya saing negeri itu dan seterusnya, tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di peringkat global.
"Kami melihat IMFC sebagai pemboleh utama pelaburan yang turut menyokong Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, menyumbang kepada inisiatif pertumbuhan yang mampan, sambil menjana peluang pekerjaan bernilai tinggi di seluruh Malaysia," katanya.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan pencapaian Pejabat Pelaksanaan dan Pemudahcaraan Projek (TRACK) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan IMFC sedia ada, IMFC Johor komited untuk menyampaikan khidmat perundingan dan khidmat nasihat yang disesuaikan dengan cabaran dan peluang unik di negeri selatan itu, seterusnya mewujudkan persekitaran yang membolehkan Johor untuk merealisasikan potensi sepenuhnya.
Katanya, MITI dan MIDA akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Johor untuk memupuk persekitaran ekonomi yang dinamik, berdaya saing dan inovatif yang akan menyokong bukan sahaja perniagaan Malaysia, tetapi juga peluang pekerjaan untuk rakyat. - DagangNews.com