Model Baharu Pembangunan Belia 2030 Dilancar Mac 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Model Baharu Pembangunan Belia 2030 Dilancar Mac 2022 - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2021 di Kuala Lumpur, 30 Oktober 2021. - Gambar Bernama

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt - Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) 2030 bakal dilancarkan pada Mac tahun depan bagi mempergiat usaha membangunkan belia secara berterusan sekali gus melahirkan Masyarakat 5.0 di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Katanya, model berkenaan dibangunkan berdasarkan kepada aspirasi dan suara anak muda untuk pemerkasaan belia bagi tempoh 10 tahun ke hadapan.

 

“Apabila dilaksanakan kelak, MBPB2030 ini bakal memberi manfaat kepada golongan belia termasuk dalam meningkatkan sosioekonomi melalui peluang dan penciptaan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran masa depan.

 

“Selain itu, ia akan memperkukuhkan lagi sistem sokongan belia khususnya hubungan dengan keluarga, masyarakat dan agensi kerajaan dalam usaha melahirkan warganegara belia yang lebih yakin dan aktif selain berdaya tahan menghadapi cabaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

 

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.

 

Perdana Menteri berkata, seluruh cabaran yang dihadapi ini bertujuan menyegerakan kewujudan Masyarakat 5.0 di negara kita iaitu sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal.

 

Ismail Sabri berkata, peranan belia dalam usaha mewujudkan Masyarakat 5.0 bermula daripada keperibadian setiap belia.

 

''Wajar diingatkan bahawa Masyarakat 5.0 yang dihasratkan negara bukanlah semata-mata generasi yang pintar mengendali dunia digital, tetapi bijak juga beradaptasi. Teknologi perlu berperanan sebagai nilai tambah kepada entiti murni bidang agama, budaya, adat resam dan adab santun Keluarga Malaysia.

 

''Saya berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan warga belia dalam menyahut cabaran ini, lantaran data menunjukkan sebilangan besar telah pun berada di tahap Belia 4.0.

 

''Pada tahap ini, belia sudah berfikiran analitikal, berpendekatan inovatif, berkemahiran teknologi dan menekankan budaya kreatif,'' katanya.

 

Pada masa yang sama kata Perdana Menteri lagi, kerajaan bersama KBS akan terus mempergiatkan usaha agar Masyarakat 5.0 segera tercapai menerusi pelbagai inisiatif yang telah digariskan termasuk melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

 

Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan menyedari peningkatan angka penglibatan warga belia dalam industri pendigitalan dan perkhidmatan menerusi ekonomi-gig.

 

Menurutnya, sumber pendapatan dipelbagaikan menerusi perkhidmatan e-hailing dan p-hailing juga semakin menarik minat warga belia Keluarga Malaysia menceburi sektor ini. Secara langsung, langkah ini telah membantu mengurangkan angka pengangguran ekoran pandemik.

 

Seiring itu ujar beliau, kerajaan menerusi KBS telah memperkenalkan Skim Perantisan Nasional bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia. Sehingga kini, sekitar 7,000 belia daripada lebih 11,000 yang menyertainya telah mendapat pekerjaan.

 

``Kerajaan akan terus merancakkan penyediaan infrastruktur, perkhidmatan digital dan pasaran kerjaya kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya warga belia. Inisiatif ini dikenal pasti berupaya merapatkan jurang digital dan merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi semasa,'' ujarnya.

 

Ismail Sabtu berkata, kerajaan akan terus meningkatkan semangat kesukarelawan dan melestarikan kesejahteraan mental pada era pasca pandemik ini.

 

Misalnya, ialah kempen Mental Health Matters dan melalui program Rakan Muda Comfort Room serta Young Mind yang menyasarkan lebih 1,000 Kaunselor Muda sebagai pelatih.

 

''Program yang mendapat kerjasama NGO ini menyediakan pelbagai platform khidmat emosi dan intervensi kepada yang memerlukan. Lebih 320,000 warga belia telah menjadi sukarelawan kepada Malaysia Vaccine Support Volunteers, manakala hampir 6 ribu lagi membantu pematuhan SOP bagi program Rakan Muda Sports Bubble,'' katanya. - DagangNews.com.