Moomoo lancar aplikasi pelaburan di Malaysia untuk perkasa pendigitalan kewangan  | DagangNews Skip to main content

Moomoo lancar aplikasi pelaburan di Malaysia untuk perkasa pendigitalan kewangan 

(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Moomoo Malaysia, Dennis Jee, Ivan Mok, Datuk Muhamad Umar Swift, Robin Xu dan Erika Chiang ketika majlis pelancaran aplikasi super pelaburan Moomoo.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - Moomoo, aplikasi super pelaburan semua dalam satu tercanggih dilancarkan secara rasmi di Malaysia untuk menggalakkan inovasi kewangan tempatan dan memperkasakan pengguna.

 

Moomoo memaklumkan, syarikat itu bakal menyediakan pengalaman pelaburan digital yang profesional, boleh dipercayai dan berinovasi kepada pelabur Malaysia. 

 

Katanya, Futu Malaysia Sdn Bhd (Moomoo MY) adalah antara firma pembrokeran digital global pertama yang dikurniakan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. 

 

Lesen itu membolehkan Moomoo MY menawarkan perkhidmatan perdagangan dan penjelasan sekuriti dan derivatif untuk kedua-duanya, katanya.

 

Rakan Kongsi Kanan, Naib Presiden Kanan dan Ketua Asia Tenggara dan Oseania Futu Holding Limited, Robin Xu berkata, kemasukan Moomoo ke Malaysia menggariskan komitmen pihaknya terhadap pemerkasaan pelbagai pasaran kewangan menerusi teknologi. 

 

Katanya, berpegang kepada misi untuk ‘menjadikan pelaburan lebih mudah, bukan bersendirian’, pihaknya berusaha untuk menggalakkan kesaksamaan maklumat, pembukaan akses dan penciptaan nilai dalam ekonomi Malaysia yang dinamik. 

 

"Sebagai sebuah platform pelaburan yang menghubungkan 21 juta pelabur runcit di seluruh dunia, kami membayangkan kerjasama dengan bursa-bursa, badan-badan pengawalseliaan dan rakan-rakan kongsi dalam tempoh terdekat untuk menjadi sebuah gerbang yang menghubungkan produk pelaburan Malaysia dengan pasaran modal dan pelabur global," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya mengalu-alukan kemasukan Moomoo MY ke Malaysia, dan sebagai Organisasi Peserta Bursa. 

 

"Dalam pasaran yang dipacu teknologi hari ini, adalah penting untuk industri memanfaatkan sepenuhnya data dan alat digital untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses dan lebih cekap. 

 

"Pelabur mahukan pilihan, dan kami menggalakkan semua Organisasi Peserta untuk menggunakan kuasa teknologi baharu bagi meningkatkan pengalaman pelaburan para pelabur dan menggalakkan lagi keterangkuman kewangan di Malaysia," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok pula berkata, pengguna akan mendapat manfaat daripada akses tanpa had kepada peralatan dan sumber bertaraf profesional, yang selalunya dikaitkan dengan perkhidmatan premium.

 

"Ini mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap usaha memberikan peluang yang sama rata, menjadikan pelaburan terarah sendiri mudah, senang dan boleh diakses oleh semua orang, tanpa mengira tahap pengalaman mereka," katanya. - DagangNews.com