MoU dengan HD Hyundai Marine Solution peluang besar bagi MMHE teroka teknologi hijau maritim - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

MoU dengan HD Hyundai Marine Solution peluang besar bagi MMHE teroka teknologi hijau maritim - MIDF Research

Gambar MMHE
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 4 Sept - MIDF Research melihat kerjasama dengan HD Hyundai Marine Solution sebagai peluang besar bagi Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) untuk meneroka teknologi hijau maritim yang lebih maju seterusnya meningkatkan usaha pengurangan karbon sektor tersebut. 

 

Menurut firma penyelidikan itu, sektor maritim menyumbang 3% jumlah pelepasan GHG (gas karbon hidrogen) global, disebabkan kebergantungan kepada bahan api karbon dan jumlah barangan serta komoditi yang diangkut melalui laut, yang mewakili lebih daripada 80% daripada jumlah perdagangan global. 

 

Katanya, dengan penggunaan teknologi baharu melalui pengubahsuaian hijau boleh membantu Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) mencapai sasaran mengurangkan intensiti karbon pengangkutan laut sekurang-kurangnya 40% menjelang 2030 berbanding dengan tahap 2008 iaitu 16-20g CO2 per tan-mil. 

 

"Pada masa ini, intensiti karbon untuk sektor ini berada dalam julat 7-10g CO2 per tan-mil. 

 

"Inisiatif berterusan untuk memanusiakan sektor ini dijangka meningkatkan permintaan daripada pemilik kapal, seiring dengan strategi IMO, dan oleh itu tetap menguntungkan untuk operasi marin MMHE," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MMHE, HD Hyundai Marine Solution meterai MoU bagi cepatkan usaha pengurangan karbon maritim

 

 

MMHE semalam memaklumkan mengenai pemeteraian  memorandum persefahaman (MoU) dengan HD Hyundai Marine Solution Co., Ltd untuk mewujudkan kerjasama yang memberi tumpuan kepada pemasaran dan penyampaian penyelesaian retrofit hijau.

 

Kerjasama yang ditandatangani pada 26 Julai 2024 antara anak syarikat Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) dan HD HMS itu juga bagi meningkatkan kecekapan tenaga kapal dan mengurangkan impak alam sekitar.

 

Sementara itu, tambah MIDF Research, MoU ini dijangkakan mempunyai risiko minimum memandangkan MMHE mempunyai keupayaan dan kapasiti untuk menguruskannya berdasarkan rekod kejayaan mereka dalam pengubahsuaian maritim.

 

Faktor risiko penurunan untuk projek seperti ini adalah kos permulaan yang tinggi,  ketidakpastian dalam peraturan berasaskan wilayah atau negara, gangguan operasi dan penyelenggaraan dan risiko teknologi yang berkaitan dengan jenis bahan api. 

 

"Walau bagaimanapun, manfaat jangka panjang melebihi risiko tersebut, dengan kebanyakan cabaran merupakan isu sekali sahaja," jelasnya.

 

Kata MIDF Reseach, MoU ini dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material terhadap pendapatan MMHE.

 

"Justeru, kami tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan pendapatan MMHE, dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 65 sen sesaham," jelasnya.. - DagangNews.com