MPN hanya badan penasihat kepada kerajaan, tiada kuasa melaksana - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

MPN hanya badan penasihat kepada kerajaan, tiada kuasa melaksana - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 27 Sept - Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai sebarang kuasa pelaksanaan dan hanya memainkan peranan selaku badan penasihat kepada kerajaan.

 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perakuan-perakuan MPN dibawa ke Kabinet untuk kelulusan dan selepas itu hendaklah dilaksanakan oleh kementerian atau agensi kerajaan yang berkenaan.

 

"Skop tugasan MPN hanya memberi nasihat dan perakuan kepada kerajaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk meneliti setiap perakuan sebelum dilaksanakan," katanya.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa pihak yang menyatakan MPN tidak memainkan peranan dengan baik untuk memacu pemulihan negara.

 

Muhyiddin berkata, MPN dianggotai oleh Menteri Kewangan sebagai Menteri Penyelaras, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Kanan Pertahanan, Menteri Kanan Kerja Raya, Menteri Kanan Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Ketua Setiausaha Negara.

 

Majlis itu juga dianggotai oleh pakar-pakar ekonomi, sosial serta pendidikan termasuk wakil daripada parti-parti pembangkang.

 

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau sesiapa.

 

"Tujuan saya ialah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini," katanya.

 

Beliau berharap, Perdana Menteri dan kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah-langkah yang lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat dan meringankan beban rakyat terutamanya akibat kenaikan harga barang dan kadar inflasi.

 

"Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan pada tahun hadapan juga akan memberikan kesan yang besar kepada rakyat dan saya berharap kerajaan menerusi Bajet 2023 akan dapat mengemukakan langkah-langkah yang seimbang dan berkesan dalam mengawal kenaikan kadar inflasi, mengatasi kejatuhan nilai ringgit, merangsang pertumbuhan ekonomi dan membantu rakyat yang susah,’’ katanya. - DagangNews.com